Kerajaan beli ikan yang tidak laku selepas bencana tsunami
Kerajaan akan membeli ikan bernilai beribu-ribu ringgit bagi membantu nelayan mangsa tsunami selepas orang ramai tidak membeli ikan kerana bimbang ianya tercemar memakan mayat mangsa bencana itu yang dihanyutkan ke Lautan Hindi.
Kerajaan akan membeli ikan bernilai beribu-ribu ringgit bagi membantu nelayan mangsa tsunami selepas orang ramai tidak membeli ikan kerana bimbang ianya tercemar memakan mayat mangsa bencana itu yang dihanyutkan ke Lautan Hindi.
Menurut laporan media hari ini, kebimbangan itu mengakibatkan harga ikan jatuh merudum dan sekaligus menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan yang sebelum ini menjadi mangsa bencana tsunami.
Timbalan Menteri Pertanian, datuk Shariff Omar dipetik oleh Bernama sebagai berkata, ianya merupakan satu langkah sementara sehinggalah keadaan bertambah baik.
Menurutnya, kerajaan memandang berat nasib yang menimpa para nelayan berkenaan dan "kami mahu menyakinkan orang ramai bahawa ikan tersebut selamat untuk dimakan".
Tiada bukti pencemaran
Melalui langkah tersebut, Lembaga Majuikan Malaysia akan membeli ikan yang gagal dijual nelayan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM600,000 dan menyimpannya sehinggalah permintaan meningkat semula.
Khabar angin kononnya ikan tercemar kerana memakan mayat mangsa tsunami, telah menjejaskan jualan ikan nelayan di Pulau Pinang dan pantai utara Semenanjung di mana 68 orang terbunuh dalam bencana tersebut.
Berikutan keadaan itu jualan di pasar borong Selayang yang membekalkan 60 peratus daripada keperluan ikan di negara ini, merosot dengan mencatat penurunan daripada 1,000 tan metrik ikan sehari kepada 200 hingga 300 tan metrik ikan sehari.
Jumaat lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan berkata tiada bukti menunjukkkan ikan di kawasan Asia yang dilanda tsunami, tercemar ataupun berlakunya penyakit yang berpunca daripada makanan laut.

