MIC menggesa ahlinya membuat laporan polis terhadap bekas presidennya, Datuk Seri G Palanivel yang didakwa masih cuba mendakwa beliau adalah ketua parti itu.

Ketua Penerangan MIC, VS Mogan menggesa ahli-ahli berbuat demikian kerana mendakwa wujudnya usaha berterusan kumpulan Palanivel yang didakwanya untuk mengelirukan dan memberi gambaran yang salah yang mereka adalah pemegang jawatan dalam MIC.

Dalam satu kenyataan, Mogan menggesa ahli parti itu segera membuat laporan polis terhadap perkara itu.

Palanivel telah dipecat sebagai ahli MIC dan presiden parti itu tahun lepas, selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati pemilihan parti itu bagi 2013 adalah tidak sah kerana berlaku penyelewengan.

Palanivel dan dua naib presidennya telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut tetapi mahkamah menolak rayuan mereka.

Beliau dipecat kerana melanggar Artikel 91 perlembagaan parti itu, yang melarang mana-mana ahlinya membawa perkara parti ke mahkamah tanpa persetujuan jawatankuasa kerja pusat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilantik sebagai presiden selepas pemilihan semula parti diadakan atas arahan RoS.

[Baca berita penuh]