Suhu tak akan turun 20 darjah celsius- Jabatan Meteorologi
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan laporan sebuah akhbar bahawa negara ini, terutama beberapa negeri akan dilanda suhu sejuk sepanjang Februari.
Dalam satu kenyataan akhbar, MetMalaysia berkata penurunan suhu tidak akan berlaku disebabkan fenomena El Nino yang akan berlarutan sehingga Jun.
"Malah suhu terendah bulan Januari 2016 juga lebih tinggi dari rekod suhu terendah jangka panjang bagi Januari.
"Peningkatan suhu ini adalah selari dengan jangkaan awal di mana kesan El Nino agak kuat akan menyebabkan peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2 darjah celsius.
"MetMalaysia menjangkakan keadaan yang sama akan berlarutan sehingga bulan Jun 2016. Sehubungan itu suhu minimum dijangka tidak akan turun ke 20 darjah celsius seperti yang dilaporkan dalam akhbar," ujarnya.
Terdahulu, akhbar Kosmo! melaporkan rakyat Malaysia terutamanya penduduk Kelantan dan Perak bakal menikmati cuaca sejuk seperti musim bunga di Kota London sepanjang Februari ini.
Memetik sumber daripada MetMalaysia, akhbar itu melaporkan suhu terutama di dua negeri berkenaan dijangka turun sehingga 20 Celsius.
Sumber itu memberitahu fenomena tersebut berlaku berikutan angin sejuk di kawasan kutub utara yang terkumpul terlalu lama lalu mengakibatkan laluan luruan angin.

