Virus Zika merebak cepat jika menular di M'sia - menteri
Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garis panduan komprehensif mengenai kawalan dan pencegahan Virus Zika dalam sehari dua lagi, kata Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan hasrat melancong ke Amerika Selatan buat masa ini kerana negara itu kini mengalami penularan virus Zika.
"Kita akan keluarkan garis panduan yang merangkumi kawalan, pencegahan termasuk kawalan pembiakan nyamuk aedes. Apa yang membimbangkan ialah Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor sama bagi demam denggi yang sememangnya ada dalam negara.
"Jika Virus Zika menular ke negara ini, ia akan merebak dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Kalori di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya di R&R Seremban, hari ini.
Kempen itu dilancarkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata virus itu tidak menunjukkan sebarang simptom jelas seperti demam denggi, yang menyukarkan Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan kesihatan umum di pintu masuk negara.
"Mereka yang dijangkiti virus ini kelihatan seperti orang sihat... jadi, apabila tiada simptom sudah pasti individu yang dijangkiti tidak akan mendapatkan rawatan.
"Apabila nyamuk menggigit seseorang dan menggigit individu lain selepas itu, di situlah risikonya," katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan virus itu kini menjadi isu kesihatan kecemasan dalam aspek kesihatan awam antarabangsa.
Obesiti di kalangan dewasa meningkat
"Ia terus meningkat kepada 15.1 peratus pada 2011 dan 17.7 peratus pada 2015. Prevalans berat badan berlebihan dalam kalangan dewasa pula adalah 30.3 peratus dan jika dijumlahkan kedua-dua prevalans didapati hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
"Dalam masa sama, hampir separuh daripada orang dewasa di negara ini (47.7 peratus) mempunyai paras kolestrol yang tinggi atau hypercholesterolemia pada tahun lepas," katanya.
Kos perbelanjaan kesihatan bagi rakyat Malaysia dianggarkan antara RM45 bilion dan RM46 bilion setiap tahun.

