Zuraida: Tak mungkin 300 India keluar Harapan di Sabak Bernam
Dakwaan seramai 300 ahli Pakatan Harapan keluar parti dan menyertai MIC ekoran kecewa dengan pentadbiran kerajaan Selangor hanyalah gimik politik, kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata dakwaan berkenaan dibangkitkan kerana BN tidak mempunyai isu yang mahu diutarakan.
“Ini adalah gimik politik bila ada isu tidak puas hati cakap 300 tapi tidak ada sebenarnya. Tidak ada kebenarannya. Saya rasa tidak ada yang serius berkenaan itu,” katanya kepada pemberita selepas program He for She di Hotel De Palma Shah Alam.
Mengulas lanjut, Zuraidah yang juga MP Ampang berkata perkara tersebut tidak mungkin berlaku memandangkan penduduk di kawasan tersebut merupakan majoriti berbangsa Melayu.
“Sabak bernam kawasan Melayu tidak mungkin ada 300 India yang dikatakan. Kalau ada satu dua itu normallah,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 300 ahli Harapan keluar parti dan menyertai MIC ekoran kecewa dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang didakwa gagal menunaikan janji.
Tindakan itu diketuai Kamal Abdullah, 51, bersama dengan ahli parti daripada PKR, DAP dan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang mendakwa kerajaan negeri tidak pernah mempedulikan nasib ahli dan kebajikan kaum India.
'Saya bukan teroris'
Sementara itu, mengenai isu beliau dihalang masuk ke Sarawak, sehingga kini Zuraidah masih tidak diberikan alasan yang kukuh oleh kerajaan negeri itu.
“Saya bukan teroris dan rasis jadi kenapa saya tidak dibenarkan masuk di Sarawak sedangkan saya ahli politik dan rakyat Malaysia mengikut perlembagaan mempunyai hak bebas bergerak juga bercakap,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sejak tahun 2014.
Justeru itu Zuraida berkata beliau telah mengemukakan surat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bagi membenarkan beliau masuk ke Sarawak.
“Saya sudah tulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
"Saya buat surat untuk memberikan kebenaran untuk saya masuk ke sana kerana banyak isu-isu Sarawak yang saya mahu bangkitkan untuk perjuangkan rakyat negeri itu,” katanya.

