Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Negeri Sembilan membuat laporan polis kerana mendakwa ada pegawai di Jabatan Bekalan Air Seremban yang menggunakan kemudahan di pejabat untuk menonton filem lucah.

Dalam laporan tersebut, Adun Lenggeng, Datuk Ishak Ismail juga mendakwa terdapat pegawai JBA yang disyaki berkomplot dengan kontraktor untuk mendapatkan projek.

Menurut laporan Sin Chew Daily di muka 2 (Dalam negeri), Ishak memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau membuat laporan di Balai Polis Seremban semalam.

Beliau mendakwa tiga pegawai JBA Seremban itu menonton filem lucah dengan menggunakan pemain video di pejabat selepas waktu kerja.

Ishak juga mendakwa terdapat pegawai yang sering berhibur bersama-sama kontraktor dan beliau mengesyaki mereka terlibat dalam penyelewengan kuasa.

Katanya, beliau menerima surat aduan mengenai kes tersebut pada 10 Januari ini.

Berikutan itu, beliau membuat lawatan mengejut ke JBA Seremban untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Selepas memperolehi bukti, beliau membuat laporan di Balai Polis Seremban.

Selain itu, beliau mendakwa dua pegawai teknikal bekalan air serta seorang jurutera mengeluarkan tender tanpa mengikut prosidur yang ditetapkan berhubung projek pemasangan paip air, dengan mengagihkan projek itu kepada kontraktor berkenalan rapat mereka.

Ishak pernah meminta JBA Seremban membekalkannya senarai nama kontraktor, tetapi katanya, senarai tersebut tidak mengandungi nama kontraktor semasa.

Berikutan itu, beliau mengesyaki ada individu dari JBA yang terbabit dalam perbuatan penyalahgunaan kuasa sejak sekurang-kurangnya sembilan bulan lalu.

Katanya, beliau akan menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri supaya menyiasat kes ini secara terperinci. Ishak juga telah mengumpulkan bukti yang mencukupi dan akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah Negeri Sembilan.

TNB diminta bina sistem sokongan

Sementara itu, Nanyang Siang Pau menyiarkan di muka A19 (Nasional) laporan mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi yang meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sistem sokongan yang cekap supaya ia dapat berfungsi secara automatik jika bekalan elektrik terputus.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, beliau berharap kejadian gangguan bekalan elektrik tidak akan berulang.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, TNB wajib menghantarkan laporan siasatan dalaman serta laporan siasatan panel bebas juruteknik profesional mengenai kejadian gangguan bekalan elektrik yang berlaku di wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya lagi, semua stesen janakuasa elektrik TNB perlu sentiasa menjalankan kerja pemeriksaan serta pembaikan yang ketat dan rapi.

Selain itu, katanya, TNB seharusnya membina sistem sokongan yang efektif supaya ia dapat beroperasi secara automatik semasa berlakunya gangguan bekalan elektrik.

Bekalan elektrik amat penting kepada ekonomi negara dan kilang-kilang amat memerlukan bekalan itu untuk operasi mereka, ujarnya lagi.

Di samping itu, Abdullah berkata, semua bangunan dan institusi penting, seperti hospital, perlu mempunyai penjana elektrik kekal yang boleh digunakan apabila berlaku gangguan.

Pegawai penguatkuasa disiasat BPR

Dalam laporannya di muka A22 (Nasional), Oriental Daily News memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal sebagai berkata kementeriannya belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan pegawai penguatkuasa kementeriannya berkomplot dengan peniaga VCD cetak rompak.

Beliau menegaskan demikian di lobi Parlimen ketika mengulas laporan New Straits Times bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menjalankan siasatan terhadap pegawai penguatkuasa kementerian itu yang disyaki berpakat dengan peniaga VCD cetak rompak.

"Saya tidak menyedarinya. Saya juga tidak menerima laporan BPR. Kita tidak boleh mempercayai khabar angin. Semua dakwaan perlu berdasarkan sesuatu, jika ada bukti, maka keluarkanlah bukti," cakapnya.

Sementara itu, beliau berkata, anggota penguatkuasa kementeriannya berdepan dengan ancaman besar semasa menjalankan tugas dan kerana itu mereka perlu membawa senjata api.

"Kami tidak boleh menunggu sehingga sesuatu berlaku barulah mahu memikirkan cara untuk mengatasinya. Tahun lepas, berlaku banyak kes di mana kereta kementerian saya dirosakkan oleh kumpulan haram," katanya.