Bantuan tsunami: Australia ucap terima kasih kepada Malaysia
Kerajaan Australia menghargai kesediaan Malaysia membenarkannya menggunakan pangkalan negara ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa tsunami di Aceh dan menyifatkannya sebagai tanda bahawa hubungan kedua negara semakin erat.
Kerajaan Australia menghargai kesediaan Malaysia membenarkannya menggunakan pangkalan negara ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa tsunami di Aceh dan menyifatkannya sebagai tanda bahawa hubungan kedua negara semakin erat.
Menteri Pertahannya, Robert Hill yang sedang melawat negara ini berkata, Malaysia membenarkan Australia menggunakan Butterworth sebagai pangkalan udaranya untuk menghantar bantuan ke wilayah Aceh.
Menurut Bernama , Hill memberitahu pemberita demikian selepas mengadakan perjumpaan selama 40 minit dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya mengunjungi Najib untuk mengucapkan terima kasih di atas sokongan Malaysia itu. Saya juga memberitahu beliau yang saya bangga kerana negara seperti Malaysia, Australia dan banyak negara itu, telah membantu rakyat Indonesia.
"Kerajaan Malaysia juga cukup membantu kami dalam penghantaran sumbangan ke Aceh dengan membenarkan kami berbuat demikian melalui Butterworth.
"Ini bermakna kami boleh mendaratkan pesawat C-138 di Butterworth di mana kami boleh melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. Kami dapat membawa ke Butterworth bantuan kemanusiaan dan peralatan lain, sebelum dihantar keluar," katanya.
Hubungan semakin erat
Lawatan Hill ke Malaysia serta kerjasama antara kedua-dua negara dalam membantu mangsa tsunami di Indonesia menandakan hubungan yang semakin erat sejak persaraan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hujung tahun lalu.
Penggantinya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil pendekatan yang lebih lembut dan beliau dijangka melawat Australia tahun ini lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia sejak 20 tahun lalu.
Sebelum tiba di Malaysia, Hill telah berada di Indonesia sebuah lagi negara yang tidak mempunyai hubungan rapat dengan Australia.
Menurut Hill lagi, pihak berkuasa republik itu telah menyatakan rasa terhutang budi negara itu kepada Australia kerana anggota tenteranya turut berada di Aceh untuk membantu mangsa tsunami.
- AFP

