AMANAH: Gulingkan Mukhriz tidak demokratik
Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan tindakan Umno Kedah menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan menteri besar Kedah sebagai tidak mengikut lunas-lunas demokrasi.
Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut kini dilihat sudah menjadi amalan apabila ia pernah berlaku di negeri Terengganu, Kedah dan Perak.
Tambahnya, tindakan untuk menyingkirkan seseorang menteri besar seharusnya dibuat mengikut cara demokrasi melalui undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya rasa itu satu proses yang tidak demokratik, yang kita rasakan. Maknanya mereka telah buat di Terengganu, Kedah dan Perak.
“Dah banyak kali dibuat (gulingkan sampai) jadi amalan dibuat di luar DUN, ini tidak demokrasi,” katanya di luar Bangunan Tabung Haji hari ini.
Pintu perbincangan terbuka
Mengulas lanjut Salahuddin berkata, pihaknya sedia membuka pintu perbincangan dengan Mukhriz sekiranya ingin menyertai AMANAH.
“Kita akan lihat perkembangan dulu. Dia pun ada maruah. Lagi pun pintu perbincangan kita boleh buka kalau dia nak berjumpa,” katanya.
Kira-kira dua minggu selepas pergolakan politik di Kedah tercetus, anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu akur melepaskan jawatannya tetapi berikrar tidak akan berdiam diri.
Ramai pemerhati berpendapat penyingkiran Mukhriz ada kaitan dengan kempen bapanya untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Salahuddin berkata AMANAH telah bertemu Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkenaan agihan dividen lembaga itu.
Bagaimanapun katanya, AMANAH akan mengeluarkan kenyataan selepas dividen tersebut diberikan kepada pencarumnya.

