Penduduk Broga: Pak Lah, dengarlah rayuan kami...
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi harapan terakhir kepada penduduk yang mahukan projek pembinaan insinerator di Broga dibatalkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi harapan terakhir kepada penduduk yang mahukan projek pembinaan insinerator di Broga dibatalkan.
Dr Amir Hisham Hashim berkata jirannya serta penduduk kampung baru Broga sudah berusaha untuk menemui Abdullah, tetapi masih belum berhasil.
"Perdana Menteri mesti mendengar apa yang hendak kami katakan, walaupun sekali, supaya beliau dapat memahami keadaan sebenarnya mengapa kami terus menerus membantah projek insinerator tersebut," katanya kepada
malaysiakini
.
"Kami sekali lagi meminta untuk bertemu dengan beliau. Harap-harap, kami berpeluang untuk memperjelaskannya sendiri kepada beliau secepat mungkin," tambahnya.
Amir yang merupakan seorang pensyarah kejuruteraan di sebuah universiti tempatan adalah ahli jawatankuasa bertindak sementara menentang projek insinerator Broga.
Rabu lalu, beliau serta enam yang lain, telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, melalui setiausaha politik beliau, Dr Vincent Lim.
"Beliau (Lim) nampaknya memahami masalah kami dan berjanji untuk menyampaikan pesanan kami itu kepada Perdana Menteri minggu ini," katanya.
Tempat tinggal yang selamat
Amir berkata, penduduk terbabit memahami tanggungjawab kerajaan untuk membuat keputusan yang betul, tetapi tegasnya, "apa yang kami mahu ialah ketenangan fikiran dan tempat tinggal yang selamat".
Katanya, Lim merujuk kepada kelulusan bersyarat oleh Jabatan Alam Sekitar (DOA) pada 28 Mei terhadap laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) berhubung projek insinerator di Broga.
"Tetapi hujah kami ialah kelulusan itu diberikan dua tahun selepas kerajaan telah menawarkan kontrak berbilion ringgit itu kepada sebuah firma Jepun," katanya.
Bagaimanapun, kata Amir, pihaknya percaya kelulusan laporan EIA itu diberikan semata-mata untuk memenuhi kehendak kerajaan.
Menurutnya, isu pelupusan debu daripada insinerator tersebut turut dibangkitkan
kerana kaitannya dengan asas penolakan Jabatan Alam Sekitar terhadap laporan EIA bagi cadangan membina tempat pelupusan sampah secara ditanam, dekat tapak insinerator tersebut.
"Jadi kamu mahu tahu ke manakah debu ini hendak dilupuskan, terutamanya apabila ianya mengandungi toksid," tambahnya.
Kesan kesihatan
Memorandum bertarikh 12 Januari itu, menggesa Abdullah supaya mengkaji semula projek bernilai RM1.5 juta itu, memandangkan tapaknya terletak dalam kawasan tadahan air dan telah diwartakan sebagai hutan simpanan.
Menurut memorandum lapan muka itu lagi, sehingga ini, tidak ada kerajaan di mana-mana negara pun yang meluluskan pembinaan insinerator sebesar itu di lokasi yang sensitif kepada alam dan manusia.
Oleh itu, ia amat berharap (Abdullah) akan campurtangan sebelum terlambat.
Menurutnya lagi, apabila beroperasi kelak, insinerator tersebut akan menjejaskan nilai hartanah serta memberi kesan ekonomi yang negatif di kawasan Broga dan Semenyih kesan yang tidak akan boleh dipulih seperti sediakala
Memorandum itu juga menekankan bahawa projek itu bukan sahaja memberi kesan dari segi kesihatan dan kesejahteraan penduduk terbabit, tetapi juga tidak akan menggalakkan penggunaan tenaga secara efisien.
Dalam menerima hakikat bahawa kerajaan menghadapi kesukaran dalam mengendalikan isu mengenai pengurusan pelupusan buangan, memorandum tersebut turut menyediakan maklumat mengenai kaedah alternatif lain.
Pembinaan jalan pintas
September lalu, jawatankuasa tersebut telah menyerahkan memorandum yang sama kepada Abdullah, merayu beliau supaya memberi perhatian peribadi terhadap isu tersebut, tetapi sehingga kini tiada sebarang reaksi daripadanya.
Pada 9 Januari, sekumpulan pemilik tanah di Broga diberi taklimat oleh wakil Jabatan Tanah dan Galian mengenai cadangan untuk mengambil balik sebahagian tanah di situ untuk membina jalan masuk ke loji insinerator tersebut.
"Dari apa yang kami diberitahu, hanya seorang daripada 25 pemilik tanah terbabit yang enggan menjual tanahnya, manakala yang lain meminta masa untuk menimbangkannya," kata Amir. Beliau tidak menghadiri taklimat tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, ramai yang risau dengan arahan kerajaan yang melarang sebahagian kawasan terbabit daripada diusahakan dengan sebarang aktiviti ekonomi atau dijadikan kawasan kediaman.
Katanya, jika arahan tersebut membabitkan tanah yang terletak dua kilometer dari tapak insinerator tersebut, bagaimana pula dengan kawasan yang lebih hampir, seperti Taman Tasik Semenyih yang terletak kurang daripada satu kilometer dari situ.
Katanya, ini mencerminkan risiko sebenar yang dihadapi penduduk dari segi kesihatan dan keselamatan mereka.
Bulan lalu, jawatankuasa tersebut turut menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, meminta beliau supaya menarik balik notis pengambilan balik tanah yang dihantar kepada penduduk Broga.
Jawantankuasa tersebut telah memulakan bantahan terhadap pembinaan loji insinerator itu sejak bulan November 2002, apabila tapak cadangan asalnya dipindahkan dari Kampung Bohol di Puchong, Selangor ke Broga.

