Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
58 lokap dilengkapi CCTV pintar
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 7:00 AM
Dikemaskini: 11:07 PM

Sebanyak 58 lokap di seluruh negara kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) pintar bagi mempertingkatkan sistem kawalan keselamatan tahanan.

Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Abdullah berkata CCTV berkenaan bukan hanya merakam imej, tetapi akan turut memberi amaran melalui sistem penggera jika sebarang visual mencurigakan dikesan di dalam lokap.

Beliau berkata antara aktiviti yang dapat dikesan melalui CCTV itu termasuk cubaan bunuh diri, melarikan diri, serangan seksual atau serangan pihak luar mahupun perlakuan pihak polis.

"Ia akan memberi amaran kepada anggota keselamatan di pusat kawalan dan membantu pegawai untuk memerhati, mengesan dan memantau tahanan dengan lebih mudah, serta keperluan rondaan yang minimum oleh pegawai lokap," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis taklimat lokap Pintar di ibunegara semalam.

Katanya pemasangan CCTV berkenaan sekaligus dapat meningkatkan imej dan integriti PDRM.

"Terdapat beberapa pihak sering mengkritik polis terutamanya membabitkan hal keselamatan tahanan, maka dengan adanya CCTV berkenaan para penyiasat boleh melihat sendiri rakaman itu jika ada dakwaan polis melakukan kekerasan terhadap tahanan," katanya.

Beliau menambah, setakat ini, CCTV rekaan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) itu yang dipasang di 58 daripada 704 lokap di seluruh negara menelan kos RM3.5 juta dan Lokap Berpusat Balai Polis Jinjang di sini, dijadikan sebagai projek perintis.

Projek itu yang berkolaborasi antara PDRM bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui MIMOS dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), dibangunkan sejak tahun 2013 namun kerja-kerja pemasangan dimulakan tahun lalu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS