Sebaik sahaja Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pagi tadi, wartawan mula menyoal sama ada beliau akan mengekalkan barisan exco negeri itu.

Spekulasi bertiup kencang bahawa tiga anggota exco kerajaan negeri yang menyokong bekas Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir akan digugurkan.

Apabila disoal, Ahmad Bashah berkata tiada sebarang keputusan dibuat dan beliau akan menelitinya.

Diasak sama ada beliau boleh terus bekerjasama dengan mereka, Ahmad Bashah sekadar mengulangi bahawa beliau akan meneliti perkembangan itu.

Ketiga-tiga pemimpin yang dikatakan penyokong tegar Mukhriz itu adalah Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datin Norsabrina Mohd Noor.

Ahmad Bashah berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Istana Kedah di Alor Setar pagi ini.

Wartawan turut mengajukan soalan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti daripada 36 anggota Dewan Undangan Negeri.

Menurut perlembagaan Kedah, seseorang menteri besar memerlukan sokongan 19 ADUN sebelum boleh membentuk kerajaan negeri.

Ahmad Bashah dikatakan mendapatkan sokongan daripada 17 wakil rakyat BN, manakala Mukhriz pula dipercayai mempunyai sokongan daripada empat wakil BN, termasuk dirinya dan lapan dari PAS serta empat dari PKR.

Baki tiga ADUN - dua dari DAP dan satu dari AMANAH - dilaporkan memilih untuk kekal berkecuali.

"Saya di sini, maknanya saya mempunyai majoriti," kata Ahmad Bashah secara ringkas tanpa mengulas lanjut.

Beliau menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar selepas mengetuai sekumpulan 14 pemimpin bahagian Umno yang mendesak peletakan jawatan anak Tun Dr Maahthir Mohamad itu.

[Baca berita penuh]