BERITA Malaysiakini

Bekas pengarah BPR: AG boleh didakwa 'lindungi pesalah'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Seorang bekas pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berpandangan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali boleh disiasat bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan atas kesalahan berkaitan jenayah melindungi pesalah.

Sebagai alternatif, Mohamad Ramli Manan memberitahu Malaysiakini , siasatan boleh dijalankan bawah Seksyen 217 dan 218 Kanun Keseksaan berkaitan penjawat awam yang engkar arahan undang-undang dengan niat menyelamatkan seseorang daripada hukuman atau pelucutan harta.

Mohamad Ramli menjadi pihak terbaru membantah arahan Apandi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dakwaan menolak permohonan suruhanjaya itu untuk menyiasat lebih mendalam melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA)

MLA membenarkan pihak berkuasa dalam negeri mendapatkan bantuan daripada luar negara.

Ramli ( gambar ) menyentuh kerjasama Apandi terhadap tindakan Peguam Negara Switzerland yang secara rasmi meminta bantuan Malaysia dalam siasatan berkaitan 1MDB,

“Ia akan menyebabkan siasatan lebih mudah dilengkapkan untuk SPRM jika MLA dibenarkan dengan kerjasama pihak berkuasa Switzerland,” katanya dalam wawancara melalui e-mel.

Mengulas soalan bagaimana cara untuk menyiasat Apandi, beliau berkata ia boleh dilakukan oleh pihak polis dan SPRM.

Jika SPRM, Ramli mencadangkan siasatan bawah Seksyen 17 Akta SPRM atas kesalahan memberi dan menerima suapan oleh agen dan Seksyen 212 Kanun Keseksaan.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, berdasarkan kenyataan Apandi dalam sidang medianya sebelum ini, Najib mungkin melakukan kesalahan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkaitan 'derma' RM2.6 bilion.

[Baca berita asal]