Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim merayu kepada rakyat Kedah supaya memberi peluang kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk membuktikan kebolehannya sebagai menteri besar.

Malah, beliau turut meminta rakyat Kedah menjadi hakim bagi memberi penilaian tentang kebolehannya menjadi pemimpin negeri tersebut.

"Saya merayu pada rakyat Kedah untuk jadi hakim dalam erti kata sebenar. Biarlah kita beri peluang pada individu tersebut untuk buktikan kebolehan beliau, baru kita boleh nilai.

"Bagi peluang dulu lepas itu kita nilai kepimpinan dia," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media majlis pengumuman bonus pendeposit Tabung Haji 2015 di ibu negara hari ini.

Selain itu ditanya tentang kekosongan jawatan timbalan menteri selepas Bashah menjadi menteri besar, Abd Azeez berkata perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pemilihan.

Katanya, beliau mengalu-alukan penambahan kerusi menteri atau timbalan menteri bagi mengukuhkan kepimpinan negeri Kedah.

"Sebagai pemimpin Kedah saya mengalu-alukan sekiranya ada penambahan kerusi menteri atau timbalan menteri untuk mengukuhkan lagi kepimpinan Kedah. Saya jadi pengerusi Tabung Haji pun saya bersyukur sangat-sangat dah. Jangan kata saya nak pula nanti," katanya lagi.

Hari ini, Ahmad Bashah yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Ahmad Bashah, 66, menjadi Menteri Besar Kedah ke-12 selepas kemelut kepimpinan negeri itu berlarutan kira-kira dua minggu sehingga menyebabkan penyandangnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatannya.