Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran, memangku jawatan pengarah urusan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu selelah penyandangnya Jaafar Zamhari berundur.

Jaafar meletakkan jawatannya berkuat kuasa akhir bulan lalu selepas empat bulan memikul tanggungjawab itu, lapor Utusan Online .

Harian itu melaporkan Jaafar berpuas hati dan gembira kerana dapat membantu menubuhkan syarikat penerbangan itu dan kini mempunyai prospek kerjaya baharu yang ingin diberi tumpuan.

Katanya, misinya bersama Rayani adalah untuk membantu memperkenalkan konsep penerbangan patuh syariah dan supaya segala sistem penerbangan syarikat itu dikendalikan dengan baik dan selamat.

“Saya gunakan segala pengalaman ketika bertugas selama 26 tahun di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan misi itu telah saya sempurnakan.

“Rayani Air juga telah berjaya memulakan operasi dan semakin mengembangkan sayapnya.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Sementara itu, Jaafar dilpor memberitahu, beliau tidak menghadapi masalah sepanjang bertugas di Rayani dan berharap syarikat itu terus berkembang maju bagi memenuhi permintaan penumpang.