Satu dalam tiga pekerja sektor minyak, gas hilang kerja
Satu dalam tiga pekerja di seluruh dunia hilang pekerjaan mereka dalam tempoh 12 bulan lalu, berikutan kejatuhan harga minyak yang menyaksikan ekonomi merudum, kata agensi pekerjaan Hays.
Kaji selidik ke atas 28,000 pekerja di 28 buah negara mendapati bahawa 93 peratus majikan mengakui terpaksa mengurangkan kakitangan pada tahun lalu.
Kajian itu dijalankan pada bulan November 2015, ketika harga minyak terus menjunam.
Unjuran bagi 2016 juga tidak kelihatan cerah, kata tinjauan Panduan Gaji Sektor Minyak dan Gas yang dikendalikan oleh Hays.
"Tidak ramai, jika ada, majikan sektor minyak dan gas meramalkan pertumbuhan jumlah pekerja untuk tahun 2016, dengan sebahagian besar bergelut untuk mengekalkan kakitangan sedia ada dan membuat penjimatan kos melalui pengurangan gaji dan imbuhan.
"Industri itu sedang menghadapi prospek lebih ramai pekerja diberhentikan dan ramai terpaksa mencuba peluang di luar industri kerana kekurangan projek baru semakin menjadi kenyataan,” kata Hays dalam satu kenyataan media.
Kaji selidik itu mendapati gaji merosot sebanyak 1.4 peratus akibat daripada lebihan pekerja dalam industri minyak dan gas. Pekerja ekspatriat dikatakan paling teruk terjejas.
Kira-kira separuh daripada pekerja minyak dan gas di Malaysia pula berkata mereka rela menerima pemotongan gaji daripada kehilangan pekerjaan semasa krisis ekonomi ini.
Mereka yang diberhentikan pula berkata kini bersedia berpindah ke industri lain.

