Penghuni Kerajaan Langit anjur majlis perhimpunan antara agama
Beribu-ribu penganut pelbagai agama dijangka membanjiri sebuah kampung terpencil di Hulu Besut, Terenggganu mulai esok untuk menghadiri perhimpunan sempena sambutan Hari Raya Haji.
Beribu-ribu penganut pelbagai agama dijangka membanjiri sebuah kampung terpencil di Hulu Besut, Terenggganu mulai esok untuk menghadiri perhimpunan sempena sambutan Hari Raya Haji.
Kira-kira 30 keluarga di Kampung Batu 13 sebuah kampung kecil yang terletak di sempadan negeri Kelantan itu, juga pernah menganjurkan majlis-majlis perayaan secara kecil-kecilan sewaktu bulan Ramadan dan sempena ibadat Haji di Mekah.
Majlis selama dua hari itu, yang akan diketuai oleh tok guru mereka yang dikenali sebagai Ayah Pin (foto), dijangka dihadiri oleh umat Islam dan penganut Kristian, Buddha dan Hindu dari seluruh negara, serta masyarakat Orang Asli dari Johor.
"Ini merupakan kali pertama kami menganjurkan majlis sebesar ini kerana kami mahu setiap orang mengambil bahagian, di samping untuk memahami dengan lebih baik lagi mengenai agama-agama lain," kata Rosly Abdul Samad yang menjadi pembantu kanan Ayah Pin.
Rosly berkata Ayah Pin, yang nama sebenarnya Ariffin Mohammad, percaya terhadap perpaduan umat manusia.
"Kami mahu seramai boleh orang mengetahui mengenai pelbagai kepercayaan agama yang ada supaya mereka boleh bersatu padu sebagai satu bangsa manusia," jelasnya.
"Aktiviti-aktiviti akan dijalankan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Ini termasuk 'khutbah' yang akan disampaikan oleh Ayah Pin dan sesi soal-jawab. Wakil masyarakat yang hadir dan wakil agama Kristian, juga akan turut berucap," katanya.
Beliau berkata, perhimpunan tersebut dijangka dihadiri oleh 'orang Melayu yang berfikiran terbuka' yang berpegang teguh pada agama mereka, dan sentiasa terbuka untuk memahami kepercayaan agama lain.
Terbuka pada orang ramai
Sambil menegaskan bahawa pihaknya menyedari mengenai undang-undang yang mencegah pertukaran agam adi kalangan umat Islam, Rosly berkata, niat perhimpunan itu diadakan bukanlah untuk menarik orang Melayu-Islam supaya menukar kepercayaan kepada agama-agama lain.
Katanya, perkampungan tersebut terbuka kepada semua orang yang mahu menyeru kepada kebaikan, kerja-kerja kebajikan atau berkongsi pengalaman kerohanian mereka.
"Kami hanya mahu meningkatkan kesedaran mengenai agama-agama orang lain dan berkongsi penderitaan mereka dengan bersama-sama berdoa untuk kesejahteraan mental dan emosi satu sama lain," kerana Rosly yang merupakan seorang bekas pemuzik.
"Setiap orang akan berpegang kepada agama mereka. Tetapi kami mendapati wujudnya perasaan ingin tahu mengenai agama-agama lain. Kami mahu mencuba membantu mereka memahami dengan lebih baik lagi bahawa kita boleh hidup bersama secara aman dalam masyarakat berbilang agama dan budaya, seperti kita di sini," tambahnya.
Menurutnya, pihak polis di situ telah dimaklumkan mengenai majlis tersebut.
"Tidak perlu untuk mendapatkan permit kerana perhimpunan ini diadakan di
tempat tertutup. Bagaimanapun, pihak polis telah menasihatkan kami supaya menghalakan pembesar suara ke arah kampung.
"Mereka menasihatkan kami supaya jangan melakukan apa-apa yang boleh mengancam keselamatan, patuh kepada undang-undang, dan tidak menimbulkan kekacauan atau mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Menurut Rosly, seekor kerbau akan dikorbankan untuk jamuan bagi menandakansambutan Hari Raya Haji yang jatuh pada hari Jumaat.
'Seruan'
Tahun lalu, malaysiakini menulis mengenai kampung tersebut serta kehidupan penghuninya di situ. Perkampungan tersebut dihiasi dengan rangkaian struktur berbentuk cerek, pasu dan bulan sabit, serta menara berbentuk payung.
Walaupun beberapa kali dipanggil oleh pihak berkuasa, tetapi Ayah Pin dan penghuni kampung tersebut meneruskan amalan mereka sendiri, yang mereka dakwa diperolehi daripada 'Kerajaan Langit'.
Mubaligh Kristian, Peter Poore, yang akan mengadakan sembahyang agamanya bersama seorang paderi dari Kuala Lumpur di situ, berkata beliau melihat perhimpunan tersebut sebagai satu 'panggilan' untuknya untuk berkongsi fahaman mengenai agamanya.
"Kami akan berkongsi ajaran Tuhan dengan para hadirin dan berdoa supaya disembuhkan daripada sakit dan penderitaan," katanya ketika diwawancara di pejabat malaysiakini baru-baru ini.
Bagaimanapun, tegasnya Poore, kehadirannya di situ bukanlah bertujuan untuk menyebarkan agamanya kerana terdapat undang-undang yang mencegahnya.
"Saya mendapat tahu mengenai beliau melalui seorang kawan yang telah melawat kampung ini tahun lalu, dan kami dapat berhubungan melalui Rosly tidak lama selepas itu," katanya.
"Apabila idea untuk kami ke sana dan bersembahyang di perhimpunan di kampung tersebut, saya terus merasakan bahawa Tuhan yang membawa saya ke saat ini. Perkara seumpama itu tidak berlaku secara tiba-tiba, apatah lagi ke tempat sejauh itu," tambahnya.
Poore telah menjadi seorang mubaligh Kristian sejak tahun 1984, dan mempunyai hubungan di Bangkok, Indonesia dan India.
"Saya percaya Tuhan mahu saya menjadi satu instrumen untuk membantu mereka yang perlukan bantuan, berdoa dan memberi bimbingan kerohanian," katanya yang bertugas sebagai seorang ahli teknik telekomunikasi, dan melakukan kerja-kerja mubaliqh di masa lapangnya.
Beliau juga menceritakan pengalamannya di ambang maut apabila tiang besi telefon yang dipanjatnya condong mengenai kabel elektrik berkuasa tinggi.
"Arus elektrik sekuat 11,000 kW mengalir melalui badan saya. Saya ternampak salib yang panas menyala sebelum tidak sedarkan diri. Rakan-rakan membawa saya turun selepas menarik tiang itu dari kabel tersebut.
"Ianya satu keajaipan kerana saya selamat dan hanya mengalami sedikit kesan terbakar pada tangan dan kaki. Kasut dan sarung khaki saya turut terbakar," katanya.

