Kerajaan digesa adakan semula pilihanraya kerajaan tempatan
Kerajaan perlu mengadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan yang dihentikan sejak 40 tahun lalu bagi mengembalikan keberkesanan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas di kawasan masing-masing.
Kerajaan perlu mengadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan yang dihentikan sejak 40 tahun lalu bagi mengembalikan keberkesanan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas di kawasan masing-masing.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelbagai masalah yang berlaku di peringkat tempatan sekarang adalah kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat.
"Masalah denggi, penjaja, sampah dan longkang, tidak pernah selesai kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan memainkan peranannya. Kegagalan ini juga kegagalan kerajaan kerana mereka yang melantik pegawai kerajaan tempatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di Petaling Jaya hari ini.
Kerajaan menghentikan pilihanraya kerajaan tempatan pada 1 Mac 1965 apabila tercetusnya konfrontasi dengan Indonesia.
Guan Eng berkata, ada pegawai kerajaan tempatan tidak menjalankan tugas dengan baik kerana mereka tidak pernah bertemu dengan rakyat menyebabkan janji-janji tidak pernah ditunaikan.
Kerajaan Malaysia, katanya, sudah 40 tahun menghentikan pilihanraya kerajaan tempatan dan sudah masanya ia diadakan semula, kerana pegawai lantikan kerajaan selalunya gagal berfungsi dengan baik.
"Negara-negara seperti China, Kemboja, Filipina dan Thailand mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan dan tidak ada sebab ia tidak boleh diadakan di negara kita," katanya lagi.
Menurut Guan Eng, Malaysia mengamalkan demokrasi tiga peringkat iaitu persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.
"Bagaimanapun, negara kita hanya mengamalkannya di peringkat persekutuan dan negeri," tegasnya sambil berkata, tiada sebab mengapa pilihanraya kerajaan tempatan tidak boleh diadakan "jika kita boleh mengadakannya di peringkat parlimen dan peringkat negeri'.
"Pilihanraya peringkat kerajaan tempatan adalah permulaan kepada proses demokrasi iaitu membenarkan pemilihan dibuat terhadap pegawai-pegawai kerajaan tempatan.
"Sejauh ini, pegawai lantikan di peringkat kerajaan tempatan tidak berkesan kerana kerajaan tempatan itu sendiri korup, tidak telus dan tidak menghiraukan rungutan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan DAP Mengenai Pilihanraya Kerajaan Tempatan, berkata, parti itu akan menjalankan kempen secara besar-besaran di seluruh negara bagi mendesak kerajaan supaya mengadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan.
Menurutnya, kempen tersebut akan melibatkan semua negeri dan bahagian DAP di seluruh negara mulai 1 Mac ini iaitu tarikh pilihanraya kerajaan tempatan dihentikan pada tahun 1965..
Katanya, kerajaan tempatan yang ada sekarang ini korup dan tidak sensitif kepada keperluan rakyat, dan ia berlaku kerana pegawai lantikan kerajaan tidak bersedia untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat di kawasan masing-masing.

