Lembaga Disiplin Umno hari ini mengantung keahlian lima lagi ahli parti itu selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti di peringkat bahagian tahun lalu.

Dengan ini, seramai 45 ahli parti itu digantung keahlian mereka setakat ini bagi kesalahan yang sama, manakala 14 lagi diberi amaran.

Bagaimanapun, lembaga tersebut membebaskan Ketua Umno Bahagian Marang, yang Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar daripada dakwaan terbabit dalam politik wang.

Turut dibebaskan ialah Ketua Umno Bahagian Segambut Datuk Kamaruddin Ambok.

Pengerusi lembaga tersebut, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata lima ahli terbabit ialah Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong Datuk Onn Hamzah; Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman dari Umno Bahagian Muar; bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Lembah Pantai Ramlan Askolani dan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu Daud Mohamad; dan AJK Umno Bahagian Marang, Alias Bakar.

Menurut Bernama , kelima-lima mereka didapati bersalah melanggar Perkara 2.2 berhubung dengan politik wang. Selain itu, Ramlan, Daud dan Alias didapati bersalah melanggar Perkara 4.2 kerana melobi.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata daripada jumlah mereka yang bersalah, dua ahli yang diberikan amaran, seorang yang digantung enam tahun dan 27 yang digantung tiga tahun, telah mengemukakan rayuan.

Penal Rayuan

Ditanya tentang identiti mereka yang telah mengemukakan rayuan, beliau berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Datuk Mohamed Zuki Kamaluddin, yang merupakan Pengerusi Panel Rayuan Umno.

"Rayuan terhadap kes-kes yang dikenakan tindakan Lembaga Disiplin kini diasingkan dan panel itu akan menjadi penasihat kepada Majlis Tertinggi bagi memutuskan secara muktamad rayuan yang dikemukakan anggota parti," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Mengenai pengganti Mohamed Zuki, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata beliau akan mengumumkannya sedikit masa lagi.

Mengenai jaminan Lembaga Disiplin memberi imuniti terhadap ahli parti yang tampil memberi maklumat berhubung politik wang, beliau berkata, ia ternyata berkesan dan membantu lembaga itu menyiasat kes berkenaan.

Sambil menyatakan tindakan yang diambil sehingga kini merupakan kes-kes semasa pemilihan peringkat bahagian, beliau berkata, lembaga akan terus menyiasat semua aduan berhubung disiplin dan tataetika serta politik wang apabila mendapat keterangan dan bukti yang jelas.

Sebelum itu, beliau juga menegaskan bahawa lembaga tersebut akan bertindak tegas dengan menghukum ahli yang enggan berkerjasama ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang dijalankan.

Katanya, mereka boleh boleh disabitkan kesalahan di bawah peraturan Tata Etika Ahli Umno Perkara 1.1.2, terutama mereka yang tidak bekerjasama ketika dipanggil memberi keterangan semasa siasatan dan perbicaraan yang dikendalikan lembaga tersebut.

"Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku dan kita (Lembaga Disiplin) akan mengambil tindakan terhadap orang yang membuat aduan dan kemudian menarik balik atau menukar pendirian mereka," katanya.

Sehubungan itu, lembaga tersebut mengenakan hukuman mengikut Perkara 1.1.2 terhadap dua ahli, Mohamad Jusoh dan Abdul Aziz Deraman, kedua-duanya daripada Umno Bahagian Kuala Krai, Kelantan.

Kedua-duanya diberi amaran berikutan tindakan mereka membuat aduan tetapi tidak hadir memberi keterangan ketika siasatan dan perbicaraan, yang merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin.