Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menghadiri majlis itu yang diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ketibaan Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid, dengan berpakaian warna merah di perkarangan Wisma MCA, disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA diketuai Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.

Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid yang meluangkan masa lebih sejam di majlis itu, bersama-sama beberapa pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Liow, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam turut menggaul 'yee sang,' hidangan utama musim perayaan yang dianggap juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.

Turut hadir memeriahkan majlis sambutan termasuk Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Tetamu pelbagai bangsa serta pelancong asing turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu yang menghidangkan pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, nyanyian dan seni mempertahankan diri.

Najib ketika ditemui pemberita memberi ucapan ringkas Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina.

Tahun Baharu Cina tahun ini (2016) dalam zodiak Cina ialah Tahun Monyet Api, ia merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di Wisma MCA berkata masyarakat Cina perlu kembali bersama-sama BN untuk mengukuhkan lagi usaha memakmurkan negara ini.

"Pada Tahun Monyet ini, kita lebih makmur, permasalahan politik, ekonomi dapat diselesaikan dan saya harapkan masyarakat Cina akan kembali kepada (menyokong) kerajaan (BN) katanya.

'MCA kini telah bersatu'

Liow pula berkata masyarakat Cina tidak perlu risau tentang apa-apa masalah dalam MCA kerana perkara itu boleh diselesaikan secara dalaman.

"Tidak sepatutnya ada sebarang gerakan untuk memecah-belahkan lagi parti, parti kini telah bersatu, saya pasti perwakilan-perwakilan mahu parti kekal bersatu," katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata selaku presiden MCA, beliau akan terus berusaha sebaik mungkin untuk memastikan parti kekal bersatu.

"Kami kini menumpukan untuk memantapkan lagi kempen parti dan ia akan melibatkan semua masyarakat Cina di seluruh negara," kata Liow yang lahir pada Tahun Lembu mengikut kalendar Cina.

Pacu negara ke tahap lebih tinggi

Dr Subramaniam pula berkata bersempena perayaan Tahun Baharu Cina ini, perpaduan dalam kalangan rakyat seluruh negara perlu diperkukuhkan lagi untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.

Sementara itu, Najib dan isteri serta Ahmad Zahid turut memeriahkan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM.

Ketibaan mereka pada kira-kira 11.10 pagi disambut oleh Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan kepimpinan parti dengan diiringi persembahan simbolik monyet api.

Najib meluangkan masa hampir sejam di majlis itu dan beliau turut berkesempatan untuk menyudahkan tulisan kaligrafi dengan maksud 'Get Happiness and Welcome Prosperity' selain menggaul 'lou sang'.

Mah ketika ditemui pemberita berharap kedatangan Tahun Monyet Api pada tahun ini akan memberi kekuatan untuk negara mengharungi segala cabaran.

"Tahun ini kami menjangkakan banyak cabaran bakal dihadapi negara khususnya dengan pengumuman dasar baharu, namun kami berharap 2016, iaitu Tahun Monyet, kami akan dapat mengatasi semua cabaran itu.

"Kami harap semua pihak dapat kurangkan bercakap pasal politik dan menumpukan usaha untuk bantu rakyat dan bangunkan negara, kukuhkan ekonomi terutamanya sekarang kita sudah mula komuniti ekonomi ASEAN selain telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS