Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga S'pura lemas ketika seberang sungai daki Gunung Tahan
Diterbitkan:  Feb 9, 2016 6:44 AM
Dikemaskini: 10:51 PM

Seorang lelaki warga Singapura ditemui lemas di Sungai Kuala Luis, Merapoh, Kuala Lipis, Sabtu lepas semasa ekspedisi mendaki Gunung Tahan.

Dia telah dihanyutkan air deras ketika cuba menyeberangi sungai itu semasa ekspedisi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata sebelum itu mangsa Mohamed Nawaz Maricar, 43, bersama tiga lagi pelancong asing serta 21 rakyat tempatan telah memulakan ekspedisi mendaki gunung itu lebih kurang 3.30 petang hari yang sama.

"Ketika cuba menyeberang sungai berkenaan selepas sejam setengah mendaki, tiba-tiba terjadi kepala air menyebabkan mangsa dihanyutkan arus deras," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Abdul Razak berkata sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, pihak polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis serta pemandu pelancong Taman Negara telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 7 petang hari yang sama kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian, katanya.

"Mayat kemudian dibawa Hospital Kuala Lipis dalam pukul 11.30 malam," katanya.

Beliau berkata anggota keluarga mangsa yang dimaklumkan tentang kejadian itu telah datang ke hospital berkenaan hari ini untuk urusan pengecaman dan membawa pulang jenazah.

Katanya, kejadian itu merupakan kes mati lemas pertama pada tahun ini di Gunung Tahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS