Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC - Panggil ramai saksi akan lambatkan laporan 1MDB
Diterbitkan:  Feb 9, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Lebih ramai saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan melambatkan pembentangan laporan mengenai 1MDB di parlimen.

Pengerusi PAC, Datuk Hassan Arifin berkata PAC bercadang membentangkan laporan tersebut pada sidang dewan rakyat akan bermula Mac hingga April ini.

Namun sekiranya ahli PAC bersetuju untuk memanggil lebih ramai saksi, beliau berkata ia terpulang kepada jawatankuasa itu untuk membuat keputusan.

"Tetapi yang pasti, ia boleh melambatkan proses rumusan sekaligus menyebabkan hasrat saya dan PAC untuk membentangkan Laporan PAC berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB dalam sesi Parlimen akan datang tidak akan tercapai," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kenyataan anggota PAC Tony Pua mengenai keperluan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memberi keterangan.

Menurut Hasan, semua maklumat dan jawapan yang diberikan Pengerusi 1MDB sudah cukup untuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat rumusan terhadap urus tadbir syarikat pelaburan negara itu.

"Ia disebabkan segala isu ketika Mohd Hazem menjadi CEO 1MDB sudah dijawab Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika prosiding pada 19 dan 20 Januari lalu.

"Saya berpandangan sebagai pengerusi 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui secara mendalam operasi syarikat.

"Sehubungan itu, semua maklumat dan jawapan yang diberikan Pengerusi 1MDB sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan berhubung dengan urus tadbir 1MDB," ujarnya.

Kelmarin Hassan mengumumkan dua individu terakhir akan tampil memberi keterangan kepada PAC pada 11 dan 12 Februari ini. Mereka ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Lihat Komen
ADS