Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Bashah sudah ada exco sendiri
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 12:23 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau sudah mempunyai senarai cadangan barisan exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun kata ADUN Bakar Bata itu, cadangan tersebut akan dikemukakan terlebih dahulu kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk diperkenankan.

Namun, ketika ditanya sama ada akan mengekalkan barisan exco sedia ada atau menggantikannya dengan calon baru, beliau enggan mengulas.

“(Cadangan) senarai baru sudah ada, semua 21 ADUN boleh jadi exco. Tetapi kita kena menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah dulu dan kami belum dapat tarikh yang sesuai (untuk menghadap).

“Tarikh (angkat sumpah exco baru) juga belum dapat sebab kita kena ambil kira perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah dahulu dan tarikh ditetapkan oleh pihak istana,” katanya lapor Berita Harian.

Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas sebahagian besar pemimpin Umno di Kedah menyatakan hilang percaya terhadap anak bekas perdana menteri itu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan pada 4 Februari lalu.

Bagaimanapun barisan exco negeri dijangka mengalami perubahan kerana sebahagian daripada mereka dilihat memihak kepada Mukhriz dalam pertikaian berkenaan.

Ahmad Bashah juga dilaporkan sudah memaklumkan senarai exco negeri yang baru secara tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata perbincangan rasmi mengenai perkara itu hanya boleh dibuat selepas cuti Tahun Baru Cina.

Lihat Komen
ADS