Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi soal keupayaan MARA biayai pinjaman pelajar
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 6:25 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meminta penjelasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa mengenai keupayaan badan itu membiayai pendidikan pelajar bumiputera, terutama pelajar Universiti Kuala Lumpur.

Katanya, beliau menerima aduan daripada ibu bapa mengenai masalah dihadapi pelajar universiti terbabit berkenaan pembiayaan pendidikan anak-anak mereka.

"Mereka asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur dengan persetujuan bahawa yuran kursus dan elaun sara hidup akan disediakan melalui pinjaman MARA.

"Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan oleh MARA. Apabila mereka menghubungi pihak MARA, mereka dimaklumkan bahawa permohonan belum dibuka," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, pelajar juga dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa mereka perlu mendapatkan pembiayaan lain termasuk meminjam daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

"Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran daripada keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA," katanya.

Rafizi berkata, Annuar setakat ini enggan mengulas mengenai perkara itu sekaligus menguatkan lagi spekulasi bahawa MARA tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiayai pendidikan Bumiputra.

Sehubungan itu bagi membantu ibu bapa dan pelajar terbabit, Rafizi berkata beliau telah melancar borang aduan dan kajiselidik mengenai pembiayaan MARA.

"Saya jemput semua yang menghadapi masalah mengenai pembiayaan pendidikan MARA untuk mengisi maklumat di bit.ly/AduanMARA supaya saya dapat menganggarkan sejauh mana seriusnya masalah pembiayaan pendidikan MARA seperti yang diadukan sebelum ini," katanya.

Lihat Komen
ADS