Lima timbalan menteri dari Sarawak akan menghantar surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan rasa 'kesal' mereka terhadap kenyataan Badan Pencegah Rasuah bahawa seorang daripada mereka sedang disiasat berhubung kes rasuah.

Keputusan itu dibuat selepas mereka mengadakan perjumpaan selama 20 minit di Parlimen Isnin lalu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Uggah Embas.

Douglas, pada mulanya berjanji untuk memberi salinan surat tersebut kepada malaysiakini , tetapi kemudiannya berkata tidak dapat berbuat demikian kerana menganggapnya sebagai perkara sulit.

Beliau juga enggan menyatakan lebih lanjut mengenai kandungan surat tersebut, yang menurutnya akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu ini juga.

"Kami hanya mahu meluahkan perasaan kami berkaitan isu tersebut...kami rasa kenyataan (BPR) itu terlalu umum," katanya merujuk kepada kenyataan Pengarah BPR Sarawak, Mohd Jamidan Abdullah bahawa seorang timbalan menteri dari negeri itu sedang disiasat atas dakwaan rasuah.

Kenyataan itu telah menimbulkan spekulasi hebat mengenai siapakah timbalan menteri yang dimaksudkannya itu.

Selalin Douglas, empat lagi timbalan menteri dari Sarawak ialah Datuk Joseph Salang Gandum (Kementerian Luar), Robert Lau (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Dr Tiki Lafe (Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah) dan Joseph Entulu (Jabatan Perdana Menteri).

Siasat dahulu

Mereka semua menafikan sedang disiasat oleh BPR. Sebelum ini, pengarah BPR itu berkata siasatan tersebut dimulakan November lalu mengikut Seksyen 11a Akta Pencegahan Rasuah.

Mereka juga ditanya oleh ahli-ahli Parlimen ketika menghadiri sidang khas Dewan Rakyat minggu ini berhubung pindaan Rang-rang Undang Bekalan Air.

Difahamkan, mereka juga telah menjadi bahan ejekan rakan-rakan di Parlimen yang menggelar mereka sebagai "satu dari yang lima'.

Sementara itu, Lau menyifatkan kenyataan BPR yang tidak begitu jelas itu sebagai 'tidak adil' dan 'menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan'.

"Kami semua sependapat mengenainya. Setidak-tidaknya, pengarah BPR negeri itu menunggu sehingga siasatan selesai, dan jika ada kes, barulah membuat kenyataan," katanya ketika ditemui.