MB Tganu dakwa PAS tidak ikhlas untuk berdebat isu cukai pintu
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa bahawa pemimpin PAS sebenarnya tidak ikhlas untuk berdebat mengenai keputusan kerajaan negeri untuk mengutip semula cukai pintu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa bahawa pemimpin PAS sebenarnya tidak ikhlas untuk berdebat mengenai keputusan kerajaan negeri untuk mengutip semula cukai pintu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
"Pemimpin PAS sengaja menggembar-gemburkan cadangan itu bagi kepentingan politik mereka, bukannya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
"Saya tidak fikir pemimpin PAS ikhlas dalam cadangan untuk mengadakan debat berhubung isu cukai pintu kerana semua wakil rakyat mereka tidak hadir semasa pemimpin kerajaan menggulung hujah perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini,'' katanya dalam
lawanweb rasmi
Kerajaan Terengganu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahaya Ali dilaporkan berkata PAS negeri menerima cabaran Umno untuk mengadakan debat terbuka berhubung tindakan kerajaan BN negeri mengutip semula cukai pintu.
Ini berikutan cabaran Ketua Penerangan Umno negeri, Ahmad Shabery Cheek mengenai perkara itu, yang disiarkan sebuah akhbar harian dalam edisi Timur pada 3 Disember lalu.
Laporan itu menyebut, Shabery membuat cabaran itu kerana mendakwa PAS terus memanipulasikan isu itu untuk mengelirukan rakyat.
Menurut Yahaya lagi, PAS dan Umno negeri pada dasarnya bersetuju mengadakan debat itu selepas sambutan Tahun Baru Cina nanti.
Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya debat itu diadakan di stadium bola (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) tetapi menurutnya wakil Umno mahu di tempat yang lebih tertutup.
Sidang dewan
Mengulas lanjut mengenainya, Menteri Besar berkata, keempat-empat wakil rakyat PAS sepatutnya menghadiri sidang tersebut kerana ia merupakan medan terbaik untuk mereka menyalurkan suara rakyat dan rasa tidak puas hati mereka terhadap apa jua isu yang timbul di negeri itu.
"Mereka menghentam pemimpin kerajaan pada sebelah pagi sidang DUN, tetapi tidak hadir pada sesi petang untuk mendengar ulasan dan saranan kerajaan berhubung pertanyaan yang mereka kemukakan sebelum ini,'' katanya.
Idris berkata, pemimpin PAS sebaliknya lebih gemar memilih pentas ceramah mereka untuk menghentam pemimpin kerajaan dan membangkitkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan, daripada menggunakan peluang berbuat demikian di sidang DUN.
"Sepatutnya mereka menggunakan sidang DUN untuk mengemukakan apa jua cadangan dan rasa tidak puas hati terhadap cadangan itu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kepentingan rakyat,'' tambah menteri besar.
Pada masa yang sama, kata Idris, rakyat kini mulai faham mengenai cadangan kerajaan mengutip semula cukai pintu kerana ia dilakukan bagi kebaikan mereka semua.
"Selama ini pun, PAS tidak pernah memansuhkan cukai pintu, cuma mereka tidak mengutipnya semasa memerintah negeri ini,'' tambahnya
Difahamkan, Yahaya bersama Penolong Setiausaha PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut telah mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha dan Setiausaha Kerja Penerangan Umno negeri, Ngah Bidin dan Adam Sulong bagi membincangkan perkara itu.

