Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Program Dwibahasa (DLP) tidak diwajibkan di semua sekolah meskipun lebih 300 sekolah sudah melaksanakannya, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Pendidikan itu berkata ini program tersebut hanya dilaksanakan di sekolah dengan persetujuan pihak tertentu termasuk sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ada sekolah yang kita tawarkan mereka tolak. Bukan semua sekolah kita hantar surat untuk laksanakannya. Perkara ini dibincang bersama guru, ibu bapa melalui PIBG. Kalau mereka memilih untuk tidak buat maka tak perlu buatlah.

“Maknanya ia bukan arahan dalam bentuk paksaan kepada sekolah. Banyak orang salah faham, mereka ingatkan ini satu dasar dan wajib dibuat di semua sekolah. Tidak. Ini adalah hanya satu program,” kata Mahdzir kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Mahdzir berkata demikian mengulas tindakan sekumpulan pengkritik yang dilapor mendakwa program DLP yang dilaksanakan secara sukarela itu akan diwajibkan kelak.

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan DLP akan ditawarkan kepada 300 sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.

Di bawah program itu, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4.

Namun, ia mendapat tentangan sekumpulan pengkritik. Bagaimanapun, Mahdzir berkata mana-mana sekolah yang mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang baik digalakkan untuk melaksanakan program tersebut.

“Bila pentadbiran sekolah dan ibu bapa khususnya PIBG setuju untuk terima dan ditambah dengan penguasaan Bahasa Melayu di sekolah tersebut berada pada tahap yang baik mereka boleh laksanakannya.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini tindakan yang dikenakan terhadap guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor, Mahdzir berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan memutuskan tindakan apakah yang bakal diambil.

“Terpulang pada Jawatankuasa Tatatertib. Kita tunggu siasatan penuh selepas itu akan putuskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan ambil tindakan” kata Mahdzir.

Januari lalu, seorang daripada tiga guru berkenaan membuat laporan polis kononnya pihak sekolah tidak melindunginya dalam beberapa insiden kekecohan dan dihina oleh anak muridnya dan ibu bapa murid berkenaan.

Salinan laporan polis itu turut menjadi viral di laman sosial. Dalam laporan itu, guru berkenaan mendakwa dia dan dua lagi guru di sekolah itu pernah dihalau oleh guru besar yang didakwa menggunakan kata-kata berunsur rasis.

Selain guru besar itu juga didakwa turut menemui Pejabat Pendidikan Daerah untuk meminta ketiga-tiga guru itu dipindahkan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar, mengesahkan menerima laporan daripada guru berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan guru berkenaan dan beberapa lagi pihak bagi membantu siasatan.

Lihat Komen
ADS