Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siasatan terhadap dakwaan terdapat usaha memindahkan keluar guru Melayu di sebuah sekolah Cina di Mersing, Johor telah pun diselesaikan.

“Kita sudah hantar laporannya,” kata Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Aminudin Amin kepada Malaysiakini .

Beliau tidak mendedahkan butiran lanjutnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ( gambar ) berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan memutuskan tindakan apakah yang bakal diambil susulan siasatan melibatkan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee.

“Terpulang pada Jawatankuasa Tatatertib. Kita tunggu siasatan penuh selepas itu akan putuskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan ambil tindakan” kata Mahdzir.

Januari lalu, seorang guru sekolah berkenaan membuat laporan polis mendakwa sekolah tidak melindunginya dalam insiden kekecohan dan dihina oleh anak murid dan ibu bapanya.

Salinan laporan polis itu turut menjadi viral di laman sosial. Dalam laporan itu, guru berkenaan mendakwa dia dan dua lagi guru di sekolah itu pernah dihalau oleh guru besar yang didakwa menggunakan kata-kata berunsur rasis.

Selain itu, guru besar itu juga didakwa turut menemui Pejabat Pendidikan Daerah untuk meminta ketiga-tiga guru itu dipindahkan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar, mengesahkan menerima laporan daripada guru berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan guru berkenaan dan beberapa lagi pihak bagi membantu siasatan.

Lihat Komen
ADS