Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Biarlah Anwar berehat di Sungai Buloh'
Diterbitkan:  Feb 11, 2016 4:53 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

BEKAS Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi mempunyai 'aura' yang boleh mempengaruhi lanskap politik di negara ini, tegas Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Hayat politik Anwar sudah dipenghujung jalan," ujar Ketua UMNO Bahagian Cheras itu.

Sebaliknya tegas Syed Ali, bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu sepatutnya tidak diganggu agar lebih selesa 'berehat' di Penjara Sungai Buloh.

Beliau sekaligus menolak tanggapan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang menegaskan Anwar masih merupakan faktor penting Pakatan Harapan bagi membawa perubahan politik di negara ini.

Mohamad atau popular dengan panggilan Mat Sabu hari ini turut berkata bahawa golongan muda hari ini 'jauh terpisah' berbanding kegemilangan Anwar sebagai pemimpin pelajar pada 1970 an.

Syed Ali menjelaskan, Anwar sudah tidak lagi menjadi faktor penentu kebangkitan pakatan pembangkang kerana rakyat sudah bosan dengan percaturan politik beliau selama ini.

Menurutnya, bekas ketua pembangkang itu juga sudah tidak memiliki 'aura' yang diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi pernah dikaitkan dengan masalah moral.

"Daripada kes meliwat, ia amat terkesan kepada rakyat terutama orang Melayu. Ia (hukuman itu) bukan satu bentuk kezaliman politik tetapi berasaskan kepada keluhuran undang-undang.

"Begitulah Anwar, auranya sudah berkubur, sudah lenyap di makan masa, biarlah dia berehat di sana (Sungai Buluh) dan menghabiskan sisa usianya dengan sebaik mungkin," tegasnya.

Sejarah Anwar sudah berlalu

Bagaimanapun pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, kenyataan Mat Sabu menyerlahkan tanggapan umum bahawa pakatan pembangkang tidak sekuat mana seperti yang digembar-gemburkan.

Oleh sebab itu katanya, Mat Sabu masih lagi memperalatkan nama Anwar bagi menarik perhatian anak muda terutama golongan mahasiswa.

"Pembangkang cuba jadikan Anwar sebagai potret kebangkitan golongan pelajar walaupun sejarahnya sudah lama berlalu," ujarnya.

Menurut Syed Ali, imej Anwar dan lanskap politik pada masa ini berbeza dengan zaman 70-an di mana kebangkitan pelajar menggegarkan persada politik pada ketika itu.

Malah katanya generasi hari ini mengetahui Anwar sebagai tokoh yang pernah dipenjarakan kerana disabit kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

"Hakikatnya, zaman sudah berlalu, imej dan wajah politik Anwar sudah kotor kerana terpalit kes liwat dan semakin dilupakan," katanya.

Lihat Komen
ADS