Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Kenyataan ketua polis negara (KPN) dalam The Star pada 11 Februari 2016 yang mencadangkan kenaikan denda kesalahan trafik RM300 bagi mendidik pengguna jalan raya supaya tidak memecut amatlah di sokong.

Cadangan ini dibuat berikutan laporan operasi keselamatan jalan raya di musim perayaan tahun baru Cina baru baru ini tidak meninggalkan kesan yang diharapkan.

Sebenarnya, kegagalan mencapai matlamat ini juga berlaku di musim musim perayaan lain.

Saban tahun, laporan dikeluarkan kerajaan menunjukkan ribuan kes kemalangan, kemalangan maut, kecederaan dan kematian seolah-olah satu pencapaian negara atau suatu kemestian pula.

Kita seolah-olah berbangga memaparkan statistik yang menggerunkan tanpa noktahnya!

Berbanding dengan negara-negara lain,statistik kemalangan di negara kita adalah yang tertinggi di ASEAN, kalaupun tidak di dunia.

Berbagai-bagai alasan dan sebab musabab dijadikan punca atau penyumbang kepada kemalangan yang tinggi ini.

Tentunya banyak untuk dihitung. Tetapi walau apa pun puncanya, jika kenderaan berkenaan tidak laju, atau tidak dipecut, mampukah berlaku kematian, kecederaan parah dan kerosakan besar berlaku?

Bezakanlah kesan atau akibatnya nya jika dua kenderaan bertembung hanya dengan kelajuan 10km sejam dengan dua kenderaan bertembung selaju 180kmj.

Didik dengan hukuman

Oleh itu, faktor yang paling utama dalam hal kemalangan jalan raya adalah kelajuan! Speed kills (kelajuan membunuh) dalam bahasa lnggeris.

Kita semua tahu, di jalan-jalan raya dan lebuh raya ada motor-motor besar dan kereta yang memecut lebih 200km sejam.

Tabiat ini mesti dihentikan segera dan orang ramai mesti dididik supaya tidak memecut melampaui had laju ditetapkan.

Salah satu cara mendidik adalah dengan menghukum mereka yang bersalah! Ini akan turut memberi pengajaran kepada pemandu pemandu lain.

Untuk itu, beberapa faktor mesti diambil kira.

Pertama,hukuman atau denda itu mestilah adil. Jangan tetapkan satu kadar denda untuk semua kelajuan melebihi had – one formula fits all.

Itu tidak adil namanya. Apakah sama kesalahan mencuri seribu ringgit dengan merompak berbilion ringgit?

Kita harus ingat bahwa majoriti pemandu mematuhi undang-undang. Sesekali mereka terlajak 10 atau 20km sejam melampaui had laju.

Oleh itu denda untuk mereka RM200 sudah memadai untuk menjadi peringatan supaya lebih berhati-hati di masa hadapan

Ada juga pemandu yang kaki laju hingga 30 atau 40km melebihi had laju. Dendalah mereka ini RM400. Naikkan denda ini RM 200 setiap 20km melebihi had laju.

Undang-undang bukan untuk ikan bilis

Malah,denda pada kaki pecut dan pembuli jalanan biarlah melebihi RM1,000. Kesalahan mereka amat besar.

Minoriti inilah yang menjadi dalang sebenar di jalan dan lebuh raya. Hukumlah mereka sekeras mungkin agar jalan dan lebuh raya kita menjadi aman dan selamat.

Kedua, denda yang dikenakan hendaklah tegas tanpa kompromi. Jangan pilih bulu dalam menjatuhkan hukum. Undang-undang bukan untuk ikan bilis semata-mata.

Ketiga, tindakan hendaklah diambil di seluruh negara dengan satu standard yang sama. Semenanjung, Sabah dan Sarawak sama sahaja.

Keempat, hebahkan setiap suku tahunan bilangan denda mengikut kategori pesalah. Orang ramai akan gerun dan terdidik.

Kelima, permudahkan cara pembayaran denda seperti di mana-mana balai polis, pejabat pos atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semua langkah menangani masalah pesalah trafik yang lain adalah untuk menyokong tindakan kawalan had laju ini.

Percayalah, jika kawalan had laju ini dibuat dengan berkesan, kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya akan turun mendadak.

Kertas cadangan mengenai isu ini pernah dua kali di kemukakan kepada agensi-agensi berkenaan.


SIRAJUDDIN SALLEH pengerusi Biro Pendidikan PERKASA.

Lihat Komen
ADS