Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz tolak jawatan menteri demi Umno, maruah diri
Diterbitkan:  Feb 14, 2016 12:55 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menawarkan jawatan menteri di peringkat Pusat sekiranya beliau melepaskan jawatan menteri besar.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata beliau menolak jawatan tersebut demi amanah yang diberikan rakyat Kedah dan tidak tergamak mengkhianati kepercayaan yang diberikan selepas menang dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, lapor Sinar Harian .

“Perdana menteri berjanji melantik saya sebagai timbalan menteri dan selepas beberapa bulan, ditawarkan jawatan menteri penuh, sekiranya saya setuju melepaskan jawatan menteri besar ketika itu.

"Saya tolak demi kepentingan parti, kerana mahu pastikan rakyat masih sokong BN pada PRU14 nanti.

“Saya tahu pucuk pimpinan mahu saya digantikan atas sebab-sebab tertentu, namun saya pilih untuk tidak mengkhianati amanah rakyat Kedah. Jika saya terima, seolah-olah saya jual maruah. Saya tak tergamak,” katanya.

Menurut Mukhriz lagi, punca berlakunya krisis politik Kedah antaranya disebabkan ucapan terhadap kelemahan pucuk pimpinan dan parti pada sebuah program di Saloma Bistro Disember tahun lalu.

Katanya, kritikan terhadap isu 1MDB serta dana RM2.6 bilion menjadi punca beliau dipecat kerana isu tersebut melibatkan integriti pemimpin dalam kerajaan serta parti.

Tidak tahu pengguguran

Sementara itu, Mukhriz turut memberitahu beliau tidak dimaklumkan secara rasmi berhubung pelantikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai pengerusi perhubungan Umno Kedah.

Mukhriz berkata, beliau hanya diberitahu menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pelantikan baru tetapi bukan berhubung penggugurannya.

“Saya digugurkan sebagai pengerusi Umno Kedah pun tidak dimaklum, itulah cara sekarang. Saya tahu menerusi WhatsApp sahaja, di mana keluar kenyataan mengenai pelantikan baru, namun tidak disebut mengenai pengguguran saya,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam sebuah rakaman video yang dimuatnaik di laman peminat Facebook Mukhriz Mahathir FC , Mukhriz berkata, Najib telah menegurnya kerana membangkitkan secara terbuka persoalan mengenai 1MDB dan skandal wang 'derma' RM2.6 bilion

Menurut Mukhriz, ini juga merupakan sebab beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri besar dan bukan kerana perkara lain, seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Umno.

Lihat Komen
ADS