Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata, beliau telah mengingatkan Pemudanya agar tidak melemparkan mikrofon seperti yang dilakukan oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Katanya, tindakan yang dilakukan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu itu bukan merupakan "cara" PAS.

"Lempar mikrofon itu cara abang Mat Sabu, bukan cara kita. Kita tidak kecewa walaupun kita sebut nak rakyat lawan kerajaan. Tapi tidaklah kecewa hingga baling mikrofon.

"Saya sudah beritahu kepada Pemuda (PAS), jangan buat perangai macam itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Minggu lalu, Mohamad mendapat perhatian apabila beliau mengakhiri ceramahnya dengan membaling mikrofon ke belakang pentas – tindakan yang mengejutkan banyak pihak.

"Cis! Mari kita bangun!" kata Mohamad sambil melontar mikrofon dan berjalan beredar dari pentas tanpa berkata apa-apa semasa menyertai Himpunan 365 #BebasAnwar di Penjara Sungai Buloh, sempena setahun bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan liwat.

Mohamad bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakannya itu semata-mata untuk menunjuk perasaan kesalnya kepada rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang disifatkannya “penakut” .

Katanya, ini kerana mereka tidak memandang serius isu yang melibatkan pemimpin di negara ini terutamanya isu 1MDB serta wang sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.