Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Naik 'kapcai' hingga ke sempadan China
Diterbitkan:  Feb 15, 2016 8:12 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Meskipun pada awalnya dianggap melakukan 'kerja gila', sekumpulan anak muda berjaya menyelesaikan misi konvoi mereka menuju sempadan China dengan hanya menunggang motosikal 'kapcai' jenis Honda EX5.

Aidil Ezrul bersama lima rakannya, Muhd Afif Bakhtiar, 24, serta isteri, Norhafizah Asmal, 23, Zulkefly Hashim, 27, Muhd Arham Jaafar, 26 dan Asmawy Awang, 28, memulakan perjalanan ke sempadan China di Laos dalam tempoh 10 hari.

Mereka memulakan perjalanan dari Alor Setar, Kedah pada 5 Februari lalu menuju Bukit Kayu Hitam sebelum sampai ke Mae Hong Son, Thailand.

Menurut Aidil Ezrul yang juga ketua konvoi itu, pada awalnya perjalanan berjalan lancar dan tiada masalah besar dihadapi kecuali menukar minyak hitam dan masalah tayar bocor.

"Cabaran bermula pada hari keempat apabila kami terpaksa melalui laluan agak bahaya di Mae Hong Son, Thailand dengan suhu bawah 10 darjah celcius.

"Dari Thailand ke Laos banyak jalan sempit dengan tebing curam dan jika tidak berhati-hati pasti akan membawa masalah di tambah dengan cuaca yang sangat sejuk iaitu kira-kira 8 darjah celcius.

"Biarpun memakai pakaian tebal tetapi masih terasa sampai ke tulang menyebabkan kami sukar untuk meneruskan perjalanan," katanya seperi dilapor Harian Metro.

Dia kini berada di Danok, Thailand dan dalam perjalanan pulang ke Alor Setar.

Hanya bawa RM1,500

Aidil Ezrul yang juga pengusaha katering berkata, dia dan rakan konvoi lain juga terpaksa berlapar ketika melalui perjalanan yang mencabar itu kerana tiada kedai menjual makanan di sepanjang jalan berkenaan.

"Ia adalah situasi yang sangat mencabar mental dan fizikal kami. Syukur, berkat kesabaran, ketabahan dan semangat kerjasama antara rakan konvoi melancarkan perjalanan.

"Kami juga hanya membawa wang perbelanjaan masing-masing RM1,500 termasuk kos tempat menginap. Tak dapat nak bayangkan jika ada perkara buruk berlaku," katanya yang juga bapa dua anak berusia 12 dan sembilan tahun.

Katanya, dia dan rakannya merancang perjalanan berkenaan sejak Disember tahun lalu dan ia hasil idea ahli kelab bengkel membaiki motosikal dikenali sebagai Afif Motor di Alor Setar yang pada awalnya mahu menguji ketahanan motosikal di bengkel berkenaan.

"Pada awalnya, ia mendapat tentangan rakan lain yang berpendapat konvoi ini sebagai 'kerja gila'. Tapi, dengan sokongan keluarga rakan konvoi masing-masing, kami dapat buktikan jika orang lain boleh buat, kami juga mampu lakukannya," katanya.

Menurut Aidil, ini kali pertama beliau berkonvoi sehingga ke sempadan China bersama rakan dan merancang untuk ke destinasi lain termasuk Kemboja dan sempadan Vietnam pada masa datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS