Bom, pistol di Perlis tiada kaitan dengan pemisah, IS
Senjata yang dirampas di sebuah stesen minyak di Padang Besar di Perlis pagi semalam tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pemisah atau pengganas IS, menurut polis.
Polis telah mendapat pengesahan berkaitan perkara itu daripada unit risikan, lapor Bernama .
Agensi berita nasional melaporkan polis Perlis merampas sebiji bom tangan dan sepucuk pistol buatan sendiri di sebuah stesen minyak Caltex di kawasan itu awal pagi semalam.
Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata semasa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara melakukan pemantauan, terdapat dua lelaki mencurigakan sedang menolak motosikal yang kehabisan minyak.
"Hasil pemeriksaan lanjut pada badan dan beg suspek, polis menemukan sepucuk pistol buatan sendiri tanpa peluru, sebutir bom tangan M67, 0.7gram dadah jenis syabu dan 16 kilogram daun ketum dibawa bersama mereka," katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat polis Daerah Padang Besar hari ini.
Shafie berkata seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand ditahan pada pukul 12.45 pagi semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis percaya bom tangan itu diperoleh dari Thailand kerana senjata itu tidak diguna pakai mana-mana anggota keselamatan di negara ini dan polis sedang menyiasat tujuan suspek memiliki bom dan pistol itu.
"Hasil ujian air kencing mendapati kedu-dua suspek positif dadah. Lelaki warga Thailand berusia 24 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah lampau manakala lelaki berusia 20 tahun dari Mata Ayer itu memiliki satu rekod jenayah berkaitan dadah," beliau dipetik sebagai berkata.

