Najib: 31 Januari tarikh akhir kutip derma mangsa tsunami di Msia
Orang ramai dan syarikat mempunyai masa sehingga 31 Januari ini untuk menyumbang kepada tabung-tabung yang dibuka bagi membantu mangsa tsunami di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Orang ramai dan syarikat mempunyai masa sehingga 31 Januari ini untuk menyumbang kepada tabung-tabung yang dibuka bagi membantu mangsa tsunami di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, kutipan kini mencecah hampir RM80 juta dan RM38.8 juta daripadanya telah diserahkan kepada Tabung Bencana Negara untuk diagihkan kepada mangsa tsunami yang melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung.
"Jumlah kutipan telah sampai ke tahap yang agak besar dan kita ingin mengelak sebarang pihak daripada mengambil kesempatan secara tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negara.
Menurut
Bernama
, Najib bagaimanapun berkata tabung-tabung yang mengutip sumbangan untuk mangsa tsunami di luar negara akan terus dibuka untuk seketika waktu lagi.
"Untuk mangsa di luar negeri, kita buka sedikit masa lagi terutamanya kerana orang nak bagi banyak bantuan berbentuk barangan kepada mangsa tsunami di Aceh," katanya.
Menurutnya, kira-kira RM10 juta telah didikeluarkan kepada mangsa tsunami tempatan sejak bencana itu melanda 26 Disember lalu.
Bantuan baiki rumah
Beliau turut mengarahkan segala bantuan yang diumumkan sebelum ini, termasuk kepada mangsa yang kerosakan rumah dan bot rosak atau ranap, hendaklah diselesaikan sebelum akhir minggu ini.
Satu lagi kategori bantuan tambahan juga diputuskan hari ini untuk mangsa yang kerosakan peralatan rumah (tidak termasuk kenderaan) sewaktu bencana tersebut.
"Mereka yang mengalami kerugian RM2,000 ke atas akan dibayar RM2,000 setiap rumah dan bagi mereka yang kerugian kurang daripada RM2,000 akan dibayar RM1,000," katanya.
Jawatankuasa tersebut juga memutuskan supaya waris mangsa yang hilang supaya membuat laporan polis.
Menurut Najib, mangsa yang hilang dalam negara yang sudah dilaporkan kepada polis dan disahkan oleh pegawai daerah, akan dianggap sudah meninggal dunia, dan oleh itu waris mereka layak menerima sumbangan RM20,000.
Difahamkan 12 rakyat Malaysia masih hilang dalam kejadian itu enam dalam negara dan enam lagi di luar negara.
Najib juga menjelaskan bahawa usaha untuk membaikpulih bot-bot nelayan yang rosak dalam bencana tsunami dijangka selesai menjelang Mac ini.
Subsidi rumah
Jawatankuasa Bencana Negara juga meluluskan sumbangan dana Tabung Bencana Negara kepada para nelayan yang terpaksa menggantikan bot bagi mengelak mereka daripada dibebankan dengan jumlah pembayaran balik yang terlalu besar.
Mengenai pembinaan rumah kekal untuk mangsa tsunami, Najib berkata mereka hanya perlu membayar satu pertiga kos setiap unit yang dianggarkan berharga RM50,000 manakala sepertiga lagi ditanggung melalui subsidi kerajaan dan bakinya ditanggung oleh Tabung Bencana Negara.
Beliau menyifatkan bayaran bulanan kira-kira RM50 yang akan dikenakan kepada mangsa terbabit sebagai berpatutan kerana rumah itu berkualiti, dengan keluasan tidak kurang seribu kaki persegi.
Menurut Najib lagi, mesyuarat hari ini meluluskan cadangan Syarikat Perumahan Negara (SPN) untuk membina 1,066 rumah kekal 900 unit di Pulau Pinang, 126 unit di Kota Kuala Muda, Kedah dan 40 unit di Langkawi. Kos pembinaannya dianggarkan RM62 juta.
SPN juga, kata Najib, akan membaikpulih 523 rumah yang rosak di Kedah dan Pulau Pinang di mana kontraktor kelas F telah dilantik untuk menyiapkan kerja-kerja itu dalam tempoh sebulan.

