Pengerusi badan pendidikan Cina Dong Zong, Quek Suan Hiang menegas reformasi pengajaran sekolah menengah Cina independen tidak bertujuan menukarkan pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik, daripada bahasa ibunda ke bahasa lain.

Tujuan sebenarnya, kata beliau, adalah untuk meningkatkan pendidikan bahasa kedua bagi membolehkan pelajar menguasai dan belajar bahasa kedua dengan baik.

Sin Chew Daily dalam laporan di muka enam (Dalam Negeri), memetik Quek sebagai berkata sejak pengumuman Dong Jiao Zong (DJZ) mengenainya telah menarik perhatian masyarakat Cina, penyokong pendidikan Cina serta para ibu bapa.

Selain itu, katanya, pengumuman itu juga menimbulkan salah faham di kalangan mereka dan oleh itu, DJZ perlu menjelaskan perkara tersebut.

Menurut reformasi pengajaran itu, jelasnya, matapelajaran Sains dan Matematik Sekolah Menengah Cina masih diajar dalam bahasa Cina.

Matapelajaran berkenaan tidak akan diajar dalam bahasa lain, termasuk bahasa kedua, kerana ini merupakan dasar pendidikan DJZ dan Sekolah Menengah Cina, tegasnya.

Pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda, tambahnya, adalah cara yang paling terus bagi pelajar kaum Cina.

Sekiranya subjek tersebut diajar dalam bahasa lain, kata Quek, pelajar juga tidak akan faham dan tidak dapat belajar dengan baik.

Semasa menghadiri aktiviti Sekolah Menengah Cina di utara Muar, Quek menegaskan 'bahasa kedua' hanya merupakan perkataan teknikal pengajaran.

"Sekarang kami menggunakan cara pelajaran bahasa kedua untuk belajar bahasa Inggeris. Dengan itu, kesannya akan bertambah baik," tambahnya.

Rujuk kepada kementerian terlebih dahulu

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam menasihatkan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) supaya mendapatkan pandangan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Kementerian Kerja Raya sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh membebankan pengguna lebuhraya.

Menurut laporan Nanyang Siang Pau , timbalan menteri itu berkata, ini termasuklah tindakan Plus mengenakan denda ke atas pengguna yang berada di lebuhraya itu melebihi had masa.

"Jika pemandu yang letih perlu berehat selama dua atau tiga jam, mereka patut dibenarkan berbuat begitu," tambahnya.

Katanya, begitu dengan kereta tunda persendirian yang diletakkan di tepi lebuhraya yang boleh membahayakan keselamatan pengguna yang lain, sedangkan Plus juga menyediakan kemudahan kereta tunda.

Oleh itu, kata beliau, sebaik-baiknya Plus merujuk pendapat Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak berkenaan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.