Liong Sik mohon batalkan saman Najib
Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik telah memohon untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan tersebut
Pihak-pihak dalam saman itu telah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O Hara yang menetapkan 31 Mac depan untuk pengurusan kes bagi peguam Najib mendapatkan arahan.
Peguam Gregory Ling, yang mewakili bekas presiden MCA itu, berkata antara sebab yang dinyatakan dalam permohonan untuk membatalkan saman itu ialah bahawa tidak ada sebab yang munasabah untuk tindakan itu dan bahawa orang lain membuat gesaan yang sama.
"Anak guam saya hanya menyokong pandangan Mahathir dalam perkara ini," katanya, sambil menambah bahawa Mahathir juga telah memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Ling.
Peguam M Reza Hassan, yang mewakili Najib mengesahkan mereka telah diserahkan permohonan Ling dan kerana itu "kami perlu mendapatkan arahan selanjutnya dalam perkara ini". [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan pada 27 Oktober tahun lepas, Najib menyaman Dr Ling dan antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
Selaku plaintif, beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober tahun lepas.
Perdana menteri mendakwa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan niat jahat supaya beliau berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian dan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.
Sementara itu, Najib memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, yang disaman atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Peguam M Reza Hassan, yang mewakili perdana menteri, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri Gregory yang mewakili Dr Ling, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.
M Reza ketika ditemui pemberita berkata permohonan itu difailkan Najib pada 21 Januari lepas

