Dilema pengguna lebuhraya: Laju pun salah, perlahan pun salah..
"Ianya hanya boleh terjadi di Malaysia...di mana pemandu disaman oleh polis kerana memandu melebihi had laju, dan didenda oleh Plus kerana memandu terlalu perlahan..."
"Ianya hanya boleh terjadi di Malaysia...di mana pemandu disaman oleh polis kerana memandu melebihi had laju, dan didenda oleh Plus kerana memandu terlalu perlahan..."
Itulah reaksi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terhadap tindakan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mendenda pemandu kerana mengambil masa terlalu lama untuk keluar dari lebuhraya tersebut.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Plus hari ini, kira-kira 0.32 peratus pengguna lebuhraya adalah mereka yang didakwanya melakukan penipuan tiket transit dan sistem Touch 'N Go bagi mengelak menjelaskan bayaran penuh tol.
Minggu lalu, Plus telah mengenakan denda RM10, yang mendapat bantahan pengguna lebuhraya Plus. Berikutan itu, kerajaan telah mengarahkan Plus supaya berhenti daripada berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menggesa kerajaan supaya menarik balik sesetengah faedah utama yang diberikan kepada syarikat konsesi tersebut "kerana fokus mereka lebih kepada membuat keuntungan, daripada kepentingan awam".
Beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menarik balik status pengecualian cukai kepada Plus dan penepian bayaran faedah bagi pinjaman RM1.65 bilion dari kerajaan.
"Kerajaan telah mengecualikan Plus daripada kesemua bayaran cukai selama lima tahun mulai tahun 2002, jumlah laluan dijamin dan menjamin pinjaman bagi pinjaman komersial (yang diperolehi) Plus," tambah Lim.
Kurangkan beban pengguna
"Jadi, mengapa Plus masih mahukan lebih banyak keuntungan seperti mengenakan denda tersebut...apabila kenaikan 10 peratus kadar bayaran tol mulai 1 Januari lalu (akan menghasilkan) keuntungan tambahan RM154 juta tahun ini?" soal Lim.
Menurutnya lagi, Plus dijangka mengaut perolehan setinggi RM937 juta tahun ini, berbanding RM760 juta tahun lalu.
Lim berkata, sepatutnya Plus perlu membayar cukai korporat, memandangkan 28 peratus hasil yang akan diperolehinya akan dapat mengurangkan beban kewangan ke atas para pengguna, yang perlu membayar kenaikan kadar tol.
"Ini telah meningkat daripada 12.36 sen kepada 13.6 sen bagi setiap kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan, tetapi "negara tidak mendapat sesen pun atau mendapat faedah dari (keuntungan yang diperolehi Plus)".
Menurutnya, Perdana Menteri telah mengecewakan rakyat Malaysia kerana mengendahkan bantahan mereka dan enggan untuk campurtangan bagi menyekat kenaikan kadar tol.
Lim mendakwa kempen 'inflasi sifar' kerajaan telah hilang kewibawaannya serta mencerminkan kemerosotan kuasa moral apabila ia membenarkan kenaikan kadar tol tersebut.

