Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu melantik pengerusi baru bagi Lembaga Tabung Haji untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam menguruskan dana umat Islam itu, kata ahli parlimen pembangkang Rafizi Ramli.

Beliau yang juga adalah Setiausaha Agung PKR menegaskan bahawa lantikan baru tidak perlu dari kalangan ahli politik.

“Adalah menjadi keutamaan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada Tabung Haji dengan segera supaya penabung berhenti mengeluarkan deposit dan orang ramai mula menabung kembali di dalam Tabung Haji.

“Tindakan paling mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat adalah menukar Pengerusi Tabung Haji dengan melantik pengerusi baru yang lebih berkelayakan dan bukan dari kalangan ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tabung Haji kini diterajui oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno.

Menurut Rafizi, hasil kaji selidik rawak di media sosial mengenai isu ini mendapati sebahagian besar responden mahu Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz yang dijadualkan bersara pada April depan menerajui dana itu.

“Sentimen umum rakyat melalui kajiselidik rawak di media sosial jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan Pengerusi Tabung Haji sekarang iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ditukar.

“Ia juga menunjukkan bahawa imej Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di mata rakyat adalah tinggi dan majoriti besar mahukan beliau menerajui Tabung Haji sebagai pengerusi yang baru selepas ini,” katanya.

Rafizi juga berkata beliau dimaklumkan bahawa kadar pengeluaran di kalangan pendeposit Tabung Haji adalah tinggi sejak kebelakangan ini sehingga membimbangkan pihak pengurusannya.

Katanya, maklumbalas dari kepimpinan kerajaan termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum berjaya menenangkan keresahan penabung kerana tidak menjawab isu-isu pokok yang ditimbulkan.

Rafizi juga berikrar untuk terus mendedahkan pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian dan menimbulkan persoalan sama ada berlaku campur tangan politik di sebalik keputusan pelaburannya.

“Jika tidak ditangani dengan baik oleh Najib, keadaan ini akan berlarutan dan sedikit demi sedikit akan menghakis keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji,” katanya.

Selasa lalu, Rafizi mendakwa Lembaga Tabung Haji menanggung kerugian atas kertas RM933 juta melalui pelaburan dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Di sebalik kerugian itu, katanya, Tabung Haji masih mengekalkan sahamnya dalam syarikat perladangan yang disenaraikan itu walaupun pendapatannya menurun kerana wujudnya campur tangan politik.

Bagaimanapun Tabung Haji dalam satu kenyataan menjelaskan pelaburannya dalam saham FGV adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam salah satu sektor pelaburan terasnya.

Sehubungan itu, TH berkata para pendeposit tidak perlu bimbang kerana wang mereka tidak hilang seperti yang diuar-uarkan kerana simpanan mereka adalah dijamin.

[Baca berita penuh]