Channel 9 henti operasi Selasa depan
Operasi stesen televisyen Channel 9 akan dihentikan pada 1 Februari ini untuk proses penyusunan semula dan dijangka kembali beroperasi Februari tahun depan.
Operasi stesen televisyen Channel 9 akan dihentikan pada 1 Februari ini untuk proses penyusunan semula dan dijangka kembali beroperasi Februari tahun depan.
Akhbar Oriental Daily News melaporkan demikian dengan memetik satu kenyataan yang dikeluarkan oleh stesen televisyen itu semalam.
Channel 9 memulakan operasinya secara rasmi pada 9 September tahun lalu. Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Rashid Manaff memiliki 51 pegangan dalam Channel 9 melalui Syarikat Anaza Sdn Bhd.
Akhbar Oriental Daily News melaporkan, dalam satu kenyataan semalam, Abdul Rashid menafikan penjualan Channel 9 kepada syarikat media terkemuka dalam negeri.
Sebaliknya, kata beliau, ianya masih dalam peringkat perbincangan dan penjualannya belum lagi diputuskan.
Sebelum ini, pihak media bersaing melapor bahawa Channel 9 dan stesen radio THR.fm akan dijual sebagai satu pakej dengan harga RM50 juta.
Bagaimanapun, Abdul Rashid mengakui bahawa Channel 9 tidak dapat bersaing dengan stesen televisyen lain kerana siarannya tidak meliputi penonton di Pantai Barat.
Tidak boleh batal pembinaan jambatan
Manakala Sin Chew Daily pula memetik Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu sebagai berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan projek pembinaan jambatan baru di Tambak Johor.
Katanya, ini kerana projek yang bernilai RM 2 bilion itu membabitkan perjanjian antara Malaysia dengan Singapura serta membabitkan masalah sempadan negara.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad yang mencadangkan supaya projek pembinaan jambatan baru itu dibatalkan.
Menurut laporan, Shahrir berkata apabila negara membincangkan masalah penangguhan dengan Singapura, projek tersebut turut menjadi beban kerajaan.
Samy berkata, perkembangan projek di bawah pengurusan Malaysia berjalan lancar, manakala kerajaan telah meluluskan RM30 juta untuk tender pembinaan laluan sementara.
"Kami hanya akan menyambungkan laluan sebaik sahaja perjanjian dicapai oleh kedua-dua negara," tambahnya.
Cadangan membina jambatan adalah untuk menangani kesesakan lalulintas di Tambak Johor serta menyelesaikan masalah pencemaran air laut di Selat Johor.

