RUU MKN: K'jaan ambil maklum pandangan Majlis Raja-Raja
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Raja-Raja bahawa beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara perlu diperhalusi.
Beliau berkata rang undang-undang itu tidak menarik kuasa Yang di-Pertuan Agong sama sekali.
Tegas beliau, ia bertujuan untuk menangani ancaman keselamatan.
Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diperhalusi.
Majlis Raja-Raja menzahirkan pandangan itu selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara semalam.
Najib bercakap kepada wartawan Malaysia di San Francisco pada akhir lawatan kerja seminggu beliau di Amerika Syarikat, pada Rabu (Khamis di Malaysia).
“Sebagai contoh insiden Lahad Datu, kuasa tambahan (dalam menangani isu itu) diperlukan," katanya.
Insiden Lahad Datu merujuk kepada kejayaan pasukan keselamatan Malaysia menggagalkan cubaan kumpulan militan dari selatan Filipina untuk menceroboh Sabah antara 11 Februari dan 24 Mac 2013.
- Bernama

