Kumpulan pengamal perubatan Islam, I-Medik membidas cadangan pemimpin akar umbi Umno supaya penggunaan ganja mengikut undang-undang tidak dijadikan satu kesalahan bagi mengurangkan tekanan.

Aktivis I-Medik, Dr Nadiah Norudin menyifatkan cadangan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail sebagi dangkal.

Katanya, dari perspektif perubatan, ganja boleh mempunyai pelbagai kesan negatif kepada kesihatan, termasuk perkembangan IQ seseorang.

“Hasil kajian menunjukkan ini adalah antara penyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak dan sosial di kalangan remaja dan pemuda yang terlibat dengan ganja.

“(Ia) mengurangkan perkembangan IQ bagi remaja dan juga bayi yang terdedah kepada ganja ketika dalam kandungan.

“Kajian juga mendapati ramai remaja yang terlibat dengan ganja mengalami kesukaran untuk menghabiskan persekolahan dan seterusnya menyumbang kepada keciciran daripada pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau seterus menerangkan bahawa penggunaan ganja akan membantutkan perkembangan otak dan minda kerana ia melemahkan sesetengah sel otak yang mengawal perangai iaitu hippocampus dan prefrontal cortex.

Menurut Nadiah, terdapat peningkatan dalam penyelidikan di Barat yang menunjukkan bahawa penggunaan dadah adalah meluas yang menunjukkan kesan negatif daripada ganja.

Memetik kajian yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine pada tahun 2014, beliau berkata penggunaan ganja membawa kepada ketagihan.

“Hampir separuh daripada pengguna ganja yang menhisap setiap hari akan mendapat ketagihan, dan satu daripada eanam remaja yang terlibat dengan ganja akan ketagih,” katanya sambil menambah bahawa penggunaan ganja juga boleh membawa kepada ketagihan kepada dadah yang lebih berbahaya seperti morfin dan kokain, serta ketagihan alkohol.

Nadiah berkata ganja juga menimbulkan risiko penyakit mental seperti keresahan dan kemurungan dan risiko menghidap skizofrenia.

Beliau turut memberi amaran bahawa penghalalan ganja dari sudut undang-undang akan membuka ruang yang lebih besar kepada masalah kesihatan sosial.

“Belum selesai masalah peningkatan kes jangkitan kelamin, HIV hasil daripada peningkatan kes homoseksual, belum lagi bercerita tentang kes gugur dan pembuangan anak luar nikah.

“Pada hemat saya sebagai seorang pegawai perubatan, cukuplah apabila melihat pesakit kami datang dengan kemalangan yang teruk kerana mabuk, pesakit-pesakit mental yang berjuang untuk menyeimbangkan diri mereka dalam masyarakt, masalah kanak-kanak dan remaja yang dirujuk kepada pakar psikologi kanak-kanak kerana masalah sosial, tidak sanggup lagi untuk melihat pertambahan daripada golongan ini dalam masyarakat kita,” katanya.