ULASAN l Saya ke pejabat pos dan melihat seorang warga Nepal dan dua rakyat Bangladesh.

Mereka mahu menghantar pulang wang ke negara masing-masing melalui perkhidmatan Western Union.

Tiada kakitangan yang mahu membantu mereka.

Mereka menghampiri empat kaunter tetapi masih terpingga-pingga. Jadi saya menyoal mereka:

Saya: Nak buat apa?

Dia: Hantar wang Western Union. Wife mahu bagi ‘baby’.

Saya menuju ke mesin tiket.

Saya : Lain kali datang tekan 'C'. Ini untuk kirim wang.

Dia: Terima kasih kakak.

Nombor mereka dengan segera dipanggil - 3008, kaunter 10.

Sementara itu, saya masih menunggu untuk hampir sejam dan mempunyai 10 lagi nombor sebelum giliran saya.

Saya: Ha, tu number sudah panggil. Pergi sana counter 10 hujung.

Mereka: Okay, okay.

Tetapi mereka tidak tahu kaunter yang mana.

Saya: Nombor 10. Situ. Situ. Hujung sana.

Saya menuding ke arah kaunter itu dan mereka menujunya.

Tetapi dengan segeranya mereka kemudian beredar.

Jadi saya menyoal mereka.

Saya: Sudah hantar?

Dia: Belum kakak. Tak boleh hantar.

Saya: Apasal?

Dia: Passport tak boleh baca

Saya: Eh. Kenapa nak baca passport? Nak hantar duit je pun. Mari saya pergi bersama kamu.

Kami kembali ke kaunter 10.

Saya: Dik kenapa tak boleh nak hantar duit dia. Bukan nak kena bagi maklumat wife dia je ke. Kenapa nak kena baca passport? Nak number passport je kan?

Kerani: Tak boleh kak. Passport dia boleh baca. Permit kerja dia nak habis

Saya: Eh. berkaitan ke. Dia nak hantar duit je pun. Tak apa lah. Bagi borang. Bagi saya je hantar.

Kerani: Okay.

Kerani itu mengambil kad pengenalan saya dan memasukkan butirannya.

Saya mengucapkan terima kasih dan memberikan resit kepada lelaki itu. Namanya adalah Akber.

Beliau mengucapkan terima kasih seolah-olah saya baru menyelamatkan nyawanya.

Ini menjadikan saya amat gembira. Saya teringat pengalaman saya ketika berkhidmat di biro bantuan guaman bagi NGO hak pekerja migran tempatan.

Sekiranya saya tidak membantu NGO itu selama 14 minggu, saya mungkin tidak akan membantu pekerja asing di pejabat pos itu. Saya akan begitu takut dengan segala stereotaip yang ditanam oleh masyarakat kita.

Pengumuman baru-baru ini bahawa lebih ramai pekerja Bangladesh akan dibawa masuk juga tidak membantu.

Apa yang berlaku di pejabat pos itu melibatkan empat kakitangan di empat kaunter. Atau lima jika anda mengambil kira kakitangan di kaunter Western Union.

Adakah begitu sukar untuk membantu memberitahu mereka cara menghantar wang tunai ke luar negara? Apa kaitan permit kerja dengan pengiriman pulang wang?

Kita menyalak pada ‘pokok’ yang salah.

Ini adalah keputusan kerajaan untuk membawa mereka masuk. Bantahan perlu dibuat terhadap kerajaan dan bukan pekerja migran itu.

Bekerja di Malaysia adalah peluang yang besar bagi mereka. Sudah tentu mereka akan datang ke sini jika ditawarkan.

Dan tidak semua daripada mereka adalah penjenayah.

Begitu juga, tidak semua orang Melayu malas, tidak semua orang Cina adalah penipu dan tidak semua orang India adalah pemabuk.

Jika ia menguriskan kita kerana dilabel seumpama itu, apa bezanya untuk mereka?

Marilah kita berbaik dengan semua orang, okay?


Maziah Martin ialah peguam pelatih.