Mungkin Zamihan Mat Zin dilihat agresif, lantang, kasar dan agak keterlaluan pada ketika tertentu dalam ceramahnya.

Kini berusia 40 tahun anak kelahiran Gua Musang di Kelantan itu sendiri mengakui dia agresif.

"Kita ni macam stiker, " katanya di Bangi semalam.

Bercakap kepada media dalam suasana santai dan bersahaja bekas pegawai agama Kementerian Dalam Negeri itu memberitahu sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam hal keselamatan beliau perlu sentiasa tegas.

Zamihan juga berkata jika ada mana-mana pihak "menghina nabi" beliau tidak boleh berlembut untuk menjawab hujah berkenaan.

"Kita kena tengok isulah. Kalau isu lawak, kita melawak; kita jawab melawak. Isu keselamatan kita jawab dengan tegas.

"Misalnya isu mengkafirkan umat Islam, sesatkan umat Islam, menghina institusi agama, hina mufti - kita perlukan ketegasan," katanya.

Jika ada pihak yang dirasakannya menghina Nabi Muhammad SAW, ketegasan itu lebih diperlukan.

Sambil memetik contoh sesetengah pihak mendakwa Nabi Muhammad tidak beragama sebelum menerima wahyu, Zamihan yang kini ditempatkan di Bahagian Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata dia tidak boleh menanggapinya dengan lemah lembut.

"Mesti kita (perlu) bantai (serang). Kenyataan begitu menghina nabi dan kita perlukan penegasan (untuk membalas hujah berkenaan).

"Dia kata bapa nabi meninggal dunia (dalam keadaan) bukan Islam - marahlah kita (kita berasa marahlah). Kita marah (dengan nada kasar) supaya lain kali dia bercakap berhati-hati," katanya.

Orang jahil hukum ulama

Zamihan yang mengaku terlibat dalam pelbagai program keselamatan negara dan berunding untuk membebaskan warga Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo akhir-akhir ini digambarkan sebagai penceramah yang kasar.

Beberapa klip videonya tersebar di media sosial. Antara yang popular ialah kenyataannya menyerang Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Saya memberi respon mengikut keperluan," kata Zamihan.

Mengenai kenyataannya 'menganjingkan' sesetengah tokoh Zamihan berpendapat serangan yang disasarkan kepadanya bersifat peribadi dan manipulasi.

Ceramah yang diberikan untuk tempoh satu jam atau lebih, katanya, disunting menjadi "dua tiga minit" lalu disebarkan di media sosial.

Justeru, katanya, masyarakat yang "jahil" dan tidak membuat semakan terus menganggapnya sebagai pegawai agama yang kasar.

"Sekarang orang ramai menghukum ulama dengan video yang diedit (menjadi) pendek," katanya.

Nampak garang tapi romantik

Sebagai striker - beliau menggunakan perumpamaan pasukan bola sepak - Zamihan berkata dia perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk 'menjaringkan gol'.

"Lagi pun saya Presiden Aswaja (Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kita bertarung di medan pemikiran. Kita perjuangkan (fahaman) sunnah sambil membantu Jakim, jabatan agama negeri, majlis fatwa, mufti, jabatan mufti di seluruh negara.

"Pada masa sama saya bertindak sebagai striker untuk menghadapi gerakan yang difatwakan menyeleweng," katanya.

Jika seorang striker itu lembik, katanya, tiada 'jaringan' dapat dibuat manakala 'penonton' pula akan bosan.

Namun kata Zamihan, pada ketika tertentu atau keadaan memerlukan dia akan mengubah peranannya - daripada penyerang kepada pemain pertahanan.

Atau jika lebih memerlukan, boleh saja menjadi penjaga gol.

"Jika ada menteri nak jaringkan gol, saya jadi goalkeeper. Kalau ada mufti nak masukkan gol, saya jadi goalkeeper.

"Tapi pada masa sama, saya juga seorang striker," katanya bermadah.

Sementara itu sumber memberitahu Malaysiakini , Zamihan sebenarnya seorang bapa yang penyayang.

"Dia juga romantik kepada isteri," katanya merujuk kepada pasangan Zamihan, Rosmarina Othman.