Meskipun belum terbukti seratus peratus bahawa penyalaan colok boleh menyebabkan kanser, tetapi orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan penyalaan colok sebagai pertimbangan kesihatan.

Dalam temubual dengan akhbar Nanyang Siang Pau , seorang pakar perubatan tempatan berkata kajian telah dibuat untuk mengkaji mengapa orang Cina merupakan kaum yang paling ramai menghidap kanser hidung dan kanser kerongkong sejak dua tiga puluh tahun yang lalu.

Menurutnya, menurut kajian terkini, salah satu kemungkinannya ialah kaum Cina menyalakan colok semasa bersembahyang di tokong, dan mereka juga merupakan kaum yang paling ramai mengunjungi tokong.

Menurut pakar perubatan tersebut, colok disyaki mengeluarkan bahan beracun seperti Benzene menyebabkan kaum Cina lebih mudah menghidapi kanser hidung dan kanser kerongkong.

"Namun begitu, kajian ini belum mendapat bukti perubatan seratus peratus mengenainya. Kedua-duanya (colok dan kanser) hanya disyaki berhubungkait antara satu sama lain," ujar beliau.

Selain itu, beliau juga berkata kajian itu mendapati pemakanan ikan haruan yang terlalu banyak, juga mungkin mengakibatkan kanser, tetapi menegaskan ia masih memerlukan pengesahan lanjut.

Beliau mencadangkan supaya dikurangkan bilangan colok yang digunakan semasa bersembahyang serta mengekalkan pengaliran udara yang baik dalam rumah.

Sebaik-baiknya, kata beliau, kaum Cina juga hendaklah mengurangkan nyalaan colok di dalam kuil.

Antara 'agenda reform' dan 'agenda rakyat'

Semasa bercakap tentang isu reformasi, pemimpin pelajar 70-an, Hishamuddin Rais memperjelaskan mengenai perbezaan antara 'agenda reform' dan 'agenda rakyat'.

Dalam laporan khasya, akhbar Oriental Daily News memetik Hishamuddin sebagai berkata beliau menolak idea agenda reform.

Menurut Hishamuddin, agenda reform hanya cuba mengisikan kekurangan dalam struktur perangkaan, manakala agenda rakyat pula menggantikan seluruh struktur perangkaan yang lama.

Dengan memberikan contoh kes Datuk Seri S Samy Vellu, beliau berkata berdasarkan agenda rakyat, pihaknya tidak berniat mengkritik atau mengubahkan cara Samy menjalankan tugasnya.

Pihaknya juga tidak akan meminta Samy Vellu meletakkan jawatan, tetapi akan meminta kuasa untuk mengawasi semua operasi kementeriannya.

Menurut Hishamuddin lagi, agenda rakyat tidak akan memintakan peningkatan prestasi stesen televisyen kebangsaan (RTM) tetapi rakyat ingin memiliki kuasa untuk mengurus serta mengusahakan sendiri syarikat akhbar, stesen radio, dan stesen televisyen.

Beliau berpendapat agenda rakyat perlu merayukan penggubalan semula Perlembagaan Malaysia dan perjanjian masyarakat.

Menurutnya, perlembagaan digubal oleh manusia, "maka kita juga boleh memindanya".

Hishamuddin juga menyarankan supaya golongan muda bertanggungjawab menyertai perbincangan untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang belum diurus dan diselesaikan semasa penubuhan negara.