MEF gesa ketepi bayaran daftar pekerja tanpa izin
Bagi meringankan beban ke atas majikan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya mengetepikan yuran pendaftaran pekerja asing tanpa izin sebagai sebahagian daripada program penggajian dan penempatan semula.
Resolusi mengenai perkara itu telah diluluskan dalam mesyuarat yang dihadiri 18 dewan perniagaan di Kuala Lumpur semalam, kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan.
Shamsuddin berkata yuran pendaftaran dan penalti yang terlalu tinggi yang dikenakan di bawah program itu tidak mampu ditanggung untuk majikan.
Jika melihat pada kosnya, kata beliau, ia adalah sangat tinggi.
Majikan perlu membayar yuran RM800, pendahuluan, bagi setiap pekerja tanpa izin, tanpa mengetahui sama ada mereka akan diberikan permit kerja, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, majikan perlu membayar penalti RM500 bagi setiap pekerja asing tanpa izin yang bekerja dengannya, manakala pekerja sendiri terpaksa membelanjakan tambahan RM300 sebagai penalti, kata Shamsuddin.
Walaupun program itu adalah untuk menghalalkan pekerja tanpa izin yang bekerja dengan majikan, tetapi katanya, ianya turut menimbulkan beberapa kesan yang tidak diingini.
Sebagai contoh, kata beliau, ramai pekerja asing dalam sektor perladangan telah lari untuk mendaftar di bawah program ini.
"Hakikatnya ialah orang tidak suka bekerja di ladang. Mereka lari dan seterusnya menjadikan mereka tanpa izin, supaya boleh disenaraikan dalam program penggajian semula dan kemudian bekerja di bandar. "
Shamsudin berkata, program itu mendapat sambutan dingin dengan 1,000 majikan telah mendaftarkan hanya 8,100 pekerja tanpa izin pada minggu lepas.
Katanya, untuk mengharapkan majikan pekerja asing tanpa izin tampil dan mendaftarkan mereka, adalah seperti mengakui mereka mengambil pekerja secara haram, dan ia akan mempunyai banyak kesan di segi undang-undang.
"Sebab itulah kebanyakan majikan tidak berminat untuk mendaftar," katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak mengenakan bayaran pendaftaran pada masa lalu di bawah program pemutihan pekerja 6P.
"Bagi saya, kerajaan perlu menyediakan perkhidmatan pendaftaran secara percuma, kerana ramai (pekerja) tanpa izin kemudiannya boleh dikesan dan diuruskan dengan lebih baik."
Shamsudin berkata MEF akan menyerahkan satu memorandum kepada ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 1 Mac.
Program menggaji dan penempatan semula untuk pekerja asing tanpa izin telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai sebahagian daripada pengubahsuaian Bajet 2106.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsuddin berkata mesyuarat tersebut tidak membincangkan langkah kerajaan untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing.
Katanya, terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan mengenai isu itu.

