DAP: Mengapa anggota PAC ke luar negara sekarang?
Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin untuk menangguhkan mesyuarat yang dijadualkan untuk menerima laporan audit muktamad daripada Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dilihat sebagai "tidak kredibel tetapi tidak boleh diterima".
"Adakah mana-mana anggota PAC menyatakan bahawa mereka akan berada di luar negara dan tidak dapat menghadiri mesyuarat hari ini dan esok, apabila PAC menetapkan kedua-dua tarikh berkenaan untuk mesyuarat PAC pada perjumpaan terkahir pada 11 Februari lalu?" soal pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
"Jika tidak, mengapa kebanyakan anggota PAC berada di luar negara, seolah-olah semua anggota PAC di kalangan ahli parlimen BN bergegas ke luar negara pada kedua-dua tarikh tersebut?" soal Lim lagi.
Lim yang juga adalah ahli parlimen Gelang Patah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hassan bahawa pembentangan laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada PAC ditunda ke minggu pertama bulan Mac.
Hasan berkata mesyuarat PAC hari ini ditangguhkan kerana kebanyakan anggota PAC tidak akan hadir dan bahawa ia adalah penting bahawa semua anggotanya hadir untuk mendengar laporan audit ke atas 1MDB.
Dalam menekankan bahawa tidak ada alasan baik untuk anggota PAC tidak hadir, Lim berkata laporan audit akhir itu boleh didapati kemudian dalam bentuk cetakan apabila dibentangkan di Parlimen bersama-sama dengan laporan siasatan PAC ke atas 1MDB.
"Cuba kita kira jumlah 14 anggota PAC itu. Siapa berada di luar negara? Mengapa mereka di luar negara dan bilakah mereka merancang perjalanan ke luar negara?" soal Lim.
Katanya, tindakan anggota PAC yang gagal menghadirkan diri ke mesyuarat itu seharusnya dikutuk oleh rakyat walaupun mereka tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengabaikan tanggungjawab.

