Seorang suri rumah terkejut apabila kipas di rumahnya tiba-tiba bergoyang dan merasai beberapa gegaran kecil malam tadi.

Siti Roslina Hamzeh, 27, dari Kampung Jenagor, Kuala Berang berkata beliau ketika itu sedang berbaring untuk tidur.

Beliau kemudiannya keluar dari rumah dan jiran-jirannya memberitahu mereka turut merasai gegaran.

Hari ini dilaporkan sembilan buah kampung di sekitar Kuala Berang merasai gegaran yang berpunca daripada gempa bumi berukuran 2.7 pada skala Richter yang berpusat di Tasik Kenyir iaitu 16 kilometer dari barat daya Kuala Berang.

"Sepanjang menetap di sini sejak enam tahun lalu, saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya terkejut apabila diberitahu ia adalah gempa bumi," kata Siti Roslina yang merasai gegaran kurang daripada dua minit, namun bersyukur ia tidak mendatangkan sebarang kerosakan pada rumahnya.

Mazli Mamat, 38, pula berkata kira-kira pukul 9.30 malam, beliau terdengar seakan bunyi letupan namun menyangka ia adalah bunyi guruh.

"Lepas itu saya turut mendengar bunyi kapal terbang. Saya keliru sama ada bunyi itu bunyi guruh atau bunyi kapal terbang. Tapi gegarannya sekejap sangat.

"Pagi ini penduduk kampung mula kecoh mengatakan berlaku gempa bumi di Tasik Kenyir," katanya.

- Bernama