Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tertuduh curi telefon di Plaza Low Yat didakwa belasah mekanik

Lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat di Kuala Lumpur tahun lalu, hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik, empat hari lalu.

Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, dan rakannya Muhammad Shameer Zaidi, 19, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Kedua-dua mereka yang merupakan pekerja kedai dobi didakwa mencederakan Hafizuddin Hamzah, 27, menggunakan parang di hadapan bengkel Mizan Racing Tuned, Jalan Jelatek, di Kuala Lumpur pada 3.30 pagi, 20 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Rehan belum membenarkan jaminan berikutan penjamin kedua-dua tertuduh tidak hadir pada hari ini.

Pada 14 Julai tahun lalu, Shahrul Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat di Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 4.47 petang, 11 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Shahrul Anuar juga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret pada 12 Feb lalu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan penyalahgunaan dadah pada 12 Julai 2015.

Lihat Komen
ADS