Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi contoh tidak baik di peringkat akar umbi dengan tindakannya yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kecewa dengan serangan berterusan Muhyiddin itu, Azalina menasihatkan bekas timbalan perdana menteri supaya berundur diri atau menawar diri untuk jawatan presiden.

“Tindakan beliau itu juga memberi contoh tidak baik kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Sekiranya beliau benar-benar sudah tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan Umno selama ini beliau boleh berundur diri atau mungkin juga boleh menawar diri untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina mengingatkan Muhyiddin bahawa beliau masih ahli Parlimen Pagoh setelah memenangi kerusi itu atas tiket BN dan dengan bantuan jentera Umno.

Beliau juga mengingatkan timbalan presiden itu supaya tidak melupakan jasa parti terhadapnya dan melakukan sebarang tindakan yang boleh melemahkan Umno.

Menurut Azalina, sebarang perselisihan atau perbezaan pendapat perlu melalui saluran betul supaya tidak berlaku perpecahan kepada parti.

“Sebagai orang nombor dua dalam parti keramat Umno ini, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya memainkan peranan sebaik mungkin bagi melicinkan kerja-kerja presiden,” kata Azalina.

Menurutnya kesetiaan kepada pucuk pimpinan adalah perkara pokok yang menjadi amalan dalam mana-mana parti politik di seluruh dunia.

Justeru, Azalina berkata, setiap pemimpin parti juga perlu patuh kepada peraturan dan dasar-dasar parti, kerana perkara itu menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah parti.

“Melihat kepada perkembangan terkini, saya amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh Muhyiddin yang sekali lagi secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib,” katanya.

Muhyiddin dikatakan terus lantang mengkritik cara Najib mengendalikan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya selepas dipecat daripada kabinet.

[Baca berita penuh]