Kehilangan MH370: Keluarga mangsa saman MAS RM32 juta
Dua minggu lagi sebelum keluarga mangsa pesawat MH370 yang hilang boleh memfailkan tuntutan mengikut Konvensyen Montreal, sebuah keluarga hari ini mengemukakan saman RM32 juta terhadap syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines.
Saman itu difailkan oleh suri rumah, K Sri Devi Varmer, dua anak mereka serta ibu bapa mangsa berkenaan, S Puspanathan.
Puspanathan menaiki pesawat itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China tetapi hilang selepas tengah malam pada 8 Mac.
Puspanathan mempunyai dua anak lelaki, P Varmer, 3, dan P Thashuvarmen, 1, manakala isterinya, K Sri Devi Varmer, 30, adalah seorang suri rumah.
Turut dinamakan sebagai defenden dalam saman itu adalah Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Imigresen, Malaysia Airport Bhd dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta kerajaan Malaysia.
Saman itu difailkan pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Brijnandan Singh Bhar & Co.
Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974 dan beberapa undang-undang lain.
Pihak plaintif juga menuntut perisytiharan supaya Malaysia Airlines Bhd yang dinamakan sebagai defendan kedua bertanggungjawab untuk membayar kesemua ganti rugi menurut Akta Malaysian Airlines System Bhd (pentadbiran) 2015.

